BEIJING – Seorang pesohor media sosial di China menerima kecaman ramai selepas memuat naik video kontroversi memaparkan dia membunuh, membuang tulang dan memasak seekor aligator seberat 90 kilogram, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Chu Niang Xiao He yang mempunyai lebih 3.5 juta pengikut di platform Douyin baru-baru ini memuat naik video demonstrasi masakan aligator di rumahnya.
Klip video tersebut pada awalnya menunjukkan Xiao He membasuh reptilia itu dalam bilik mandi menggunakan berus besar sambil mulutnya diikat bagi mengelakkan ia menggigit.
Video tersebut kemudian bertukar ngeri apabila Xiao He membunuh haiwan berkenaan sebelum menyiat kulit, mengeluarkan isi perut dan membuang tulang. Dia kemudian memasak daging haiwan itu dengan pelbagai cara.
Selepas menerima kecaman ramai, Xiao He mempertahankan tindakannya dengan menjelaskan bahawa aligator tersebut dibiakkan untuk menghasilkan produk kulit. Ini bermaksud, reptilia itu sememangnya akan dibunuh untuk mengambil kulitnya.
Menurut Undang-Undang Perlindungan Hidupan Liar China, memasak daging buaya adalah diharamkan tanpa permit sah pihak berkuasa. – AGENSI