PASIR MAS – Seorang pelajar tingkatan empat dan rakannya dicekup selepas didapati membawa dadah jenis ganja seberat 10 kilogram (kg) di dalam sebuah kereta di Kampung Banggol Petaling, di sini kelmarin.
Kedua-dua lelaki berusia 16 dan 18 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.15 petang semasa berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Daerah Pasir Mas bertindak menahan kereta tersebut di tepi jalan di kawasan kampung tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam kereta itu menjumpai dadah jenis ganja dianggarkan seberat 10 kg yang bernilai RM 31,000.
“Semakan mendapati, salah seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes dadah.
“Kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis ketamin selepas ujian saringan air kencing dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Aminuddin memberitahu, remaja yang berusia 16 tahun itu merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah di Rantau Panjang di sini.
Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE