fbpx

Pasukan sertai Piala Presiden, Piala Belia sebagai pelaburan – FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keputusan untuk mewajibkan Piala Presiden dan Piala Belia pada musim depan diputuskan oleh FAM pada Mesyuarat Exco semalam. - Foto ihsan FAM

PETALING JAYA – Semua pasukan yang akan bertanding pada kempen Liga Super tidak perlu menekan butang panik meskipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan mereka menghantar skuad bertanding pada Piala Presiden dan Piala Belia musim 2024.

Pengarah teknikal FAM, Scott O’Donnell berkata, pengurusan pasukan perlu bijak dalam berbelanja selain menganggap keputusan untuk menghantar skuad pembangunan sebagai projek jangka panjang.

Kata O’Donnell, pelaburan kepada dua skuad Piala Presiden (B-20) dan Piala Belia (B-18) boleh dianggap berbaloi kerana pemain-pemain yang dibentuk berpotensi untuk diketengah ke skuad utama pada masa akan datang.

“Saya harap pasukan melihat daripada aspek positif kerana projek skuad Piala Belia dan Piala Presiden ini sebagai pelaburan jangka panjang.

“Bayangkan jika pemain sudah beraksi pada usia muda, untuk tempoh beberapa musim akan datang skuad utama pasukan terbabit tidak perlu lagi mencari bintang berkualiti kerana pemain remaja itu sudah matang.

“Jika ditanya mengenai kos, perkara tersebut diluar bidang saya tetapi mungkin pasukan boleh berjimat dengan melantik barisan kejurulatihan yang boleh digunakan buat kedua-dua pasukan,” katanya.

Pada Mesyuarat Exco FAM yang berlangsung kelmarin, badan induk bola sepak negara itu mengesahkan semua kelab untuk menghantar pasukan bertanding pada peringkat pembangunan sebagai salah satu syarat pelesenan.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi, semua pasukan perlu berjimat dengan menggunakan dana keseluruhan dengan bijak selain meletakkan sedikit dana untuk skuad pembangunan.

“Pihak FAM harap pasukan ini mencari jalan untuk menghantar pasukan ke Piala Presiden dan Piala Belia sebab kita tak boleh nak tinggalkan pembangunan. Semua pasukan kena ada, kalau tak macam mana kita nak lahirkan pemain.

“Jadi maknanya kalau pasukan berbelanja RM10 juta, mereka kena peruntukkan sedikit untuk pembangunan,” katanya.

Saingan Piala Presiden (B-20) dijadualkan bermula pada Februari hingga Ogos 2024 manakala Piala Belia (B-18) berlangsung pada April hingga September 2024 kerana memberi ruang buat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI