fbpx

Pasukan kedua Malbatt 850-11 berlepas ke Lebanon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 216 anggota daripada kumpulan kedua pasukan Malbatt 850-11 berkumpul di Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Shah Alam sebelum berlepas ke Lebanon. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SHAH ALAM – Seramai 216 anggota terdiri daripada 16 pegawai dan 193 anggota lain-lain pangkat (LLP) menjadi kumpulan kedua Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11) ke Lebanon membawa misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) hari ini.

Ia termasuk tujuh anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) diketuai oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Zainol Abdul Samad.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pemergian kumpulan kedua pada petang ini amat penting dalam usaha untuk merealisasikan komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaku misi pasukan pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya di Lebanon.

“Tidak dinafikan bahawa penglibatan ATM melalui Kontinjen Malbatt di Lebanon ini jelas telah berjaya mendapat pengiktirafan dan kepercayaan antarabangsa sekali gus membuktikan bahawa ATM mampu memainkan peranan misi pengaman setanding dengan angkatan tentera negara lain.

“Peranan dan penglibatan ini membuktikan bahawa Malaysia sangat komited melaksana misi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan, demi memastikan keamanan dan keselamatan sejagat dipertahankan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghantaran Kumpulan Kedua Malbatt 850-11, di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.

Sementara itu, katanya Malbatt 850-11 akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin dan akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.

Jelas Adly, misi kali ini dilihat lebih mencabar ekoran konflik Israel-Palestin yang tercetus sejak sebulan lalu dan masih berada dalam keadaan tegang sehingga ke hari ini.

“Konflik ini dilihat semakin tegang dan meluas di antara kedua-dua belah pihak yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda.

“Sudah pasti konflik ini akan memberi kesan kepada situasi keselamatan di selatan Lebanon dan menjejaskan pengoperasian Kontinjen Malbatt 850-10 serta Malbatt 850-11 sekiranya ia berpanjangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adly sempat menitipkan nasihat kepada 216 anggota terlibat dalam pasukan kedua ini agar sentiasa peka dan menghormati budaya, peraturan serta undang-undang tempatan.

“Selain itu, perlu sentiasa mengekalkan sifat berkecuali, mengutamakan keselamatan serta mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak UNIFIL.

“Saya percaya pasukan Malbatt dapat memikul tanggungjawab dan amanah ini dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Terdahulu, kumpulan pertama yang diketuai oleh Komander Malbatt 850-11, Kolonel Burhan Sagoni bersama 49 pegawai dan 169 anggota LPP telah berlepas ke Lebanon pada 2 November lalu.

Penghantaran kumpulan ketiga pula dijadualkan pada 12 November diikuti kumpulan keempat pada 16 November depan menjadikan keseluruhan anggota Malbatt 850-11 adalah 854 orang terdiri 82 pegawai dan 772 anggota LLP. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI