fbpx

‘Minta kemudahan kita bantu, prestasi murid perlu berubah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kanan) ketika beramah mesra bersama murid sempena Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, hari ini.-Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan akan memberikan tumpuan bagi mengangkat mutu pendidikan negara menjelang Januari 2024.

Menurut Anwar, penekanan itu dibuat susulan usaha kerajaan menyelesaikan masalah berkaitan kemudahan asas dan naik taraf prasarana sekolah di seluruh negara sejak awal tahun ini.

“Saya nak tekankan, mulai Januari 2024, selain menyelesaikan hal-hal asas mengenai prasarana, saya sudah beritahu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin bahawa tumpuan kita ialah mengangkat mutu pendidikan.

“Itu cabarannya sebab sekolah sudah elok, tandas dah siap dan kemudahan asas sudah cukup. Minta kemudahan, kita bantu tetapi prestasi murid-murid tidak berubah, kita tak boleh terima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

Justeru, beliau berharap agar Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) untuk memainkan peranan dalam meningkatkan mutu pendidikan.

“KPM tak perlu fikir masalah lain, fokus sepenuhnya bagaimana nak perbaiki penguasaan bahasa, matematik, sains, komputer dan agama.

“PIBG, saya minta bincang bagaimana nak galakkan ibu bapa beri perhatian kepada anak-anak setiap hari sekurang-kurangnya setengah jam atau sejam untuk ulang kaji,” ujarnya.

Justeru, Anwar berkata, negara tidak boleh maju ke hadapan jika mutu pendidikan tidak berubah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI