PETALING JAYA – “Mommy Nour, can you bring us to Malaysia, because in Malaysia no bomb (Ibu Nur, boleh bawa kami ke Malaysia sebab di Malaysia tidak ada serangan bom).”
Demikian rayuan seorang anak kecil Palestin kepada rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron apabila dia terlalu takut untuk terus tinggal di kawasan yang penuh dengan ancaman bom setiap hari.
Nurul Ain menerusi perkongsian di Facebooknya hari ini berkata, kanak-kanak perempuan itu adalah anak saudaranya yang ketika ini masih bersamanya di Semenanjung Gaza setelah mereka gagal untuk keluar dari kawasan bergolak tersebut.
Menurut Nurul Ain, situasi terkini di kawasan kediamannya semakin genting apabila serangan bom dibuat tanpa henti oleh rejim Israel sehingga penduduk sukar untuk tidur kerana ketakutan.
“Malam yang ngeri bunyi bom tak berhenti sampai berapa pagi, saya sendiri tak boleh nak tidur, tak tahu sampai pukul berapa pagi tertidur sendiri.
“Pagi-pagi anak buah masuk bilik minta dibawakan pulang ke Malaysia. Ya Allah, tiada yang lain selain Mu. Kasihanilah kami, kasihanilah anak kecil ini ya Rab ya Rab. Insya-Allah it will end soon (ia akan berakhir nanti) insya-Allah semuanya akan baik,” katanya.
Terdahulu, Nurul Ain berkongsi keadaan penduduk di Gaza yang terpaksa berlapar dan hanya minum air masin untuk terus hidup.
Katanya, selain kemudahan elektrik dan air terputus, bekalan ubat untuk pesakit yang memerlukan juga berkurangan.
Terbaharu, jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra dalam satu sidang akhbar tempatan berkata, tentera Israel telah membunuh 10,022 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 25,000 yang lain dalam tempoh sebulan. – KOSMO! ONLINE