PETALING JAYA – Selepas dua hari berkampung di hospital akibat demam viral, kesihatan penyanyi Khai Bahar kini beransur pulih dan dijangka dibenarkan pulang esok.
Pengurusnya, Mohammed Rizal Mohammed Yasin, berkata penyanyi itu semakin bertenaga berbanding hari pertama dimasukkan ke wad.
“Sebenarnya ini kali pertama Khai masuk hospital. Alhamdulillah kesihatannya bertambah baik, cuma tekak masih sakit disebabkan ulser.
“Kalau semuanya okay, mungkin esok Khai sudah boleh baik, tapi kena rehat sampai betul-betul sembuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online
Menurut Mohammed Rizal atau Jai, Khai juga tidak sabar membuat persediaan menghadapi konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Sabtu ini.
Biarpun belum dapat membuat latihan penuh, penyanyi lagu Bayang itu sempat berlatih menari bersama pasukan pengiring sebelum diserang demam.
“Kita tengok macam mana nanti, apa yang pasti Khai tetap bersemangat menanti tarikh persembahan mega pada 11 November ini.
“Doakan semua urusan dipemudahkan sehingga hari Konsert Solo Khai Bahar nanti,” ulasnya lagi.
Ahad lalu, pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 29, itu tetap menyempurnakan persembahan di Istana Budaya meskipun tidak sihat.
Selepas suhu badannya naik mendadak sehingga menggigil, dia dibawa ke hospital kerana disyaki menghidap demam denggi, namun hasil pemeriksaan mengesahkan puncanya adalah disebabkan demam viral. – KOSMO! ONLINE