fbpx

Kaitkan saya dengan Israel, itu tindakan biadab, kurang ajar – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar mempertikaikan laporan sebuah akhbar yang turut memaparkan gambar beliau dengan latar belakang bendera Israel.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, akan mengambil tindakan ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkannya dengan Israel.

Anwar berkata, ia adalah satu tindakan biadab dan melanggar tata susila.

“Tengok, supaya jangan Ketua Dewan Ulama (PAS) guna Harakah mengaitkan saya dengan Israel. Itu kenyataan yang biadab.

“Fitnah yang guna serban. Tidak sah dan saya bantah sekeras-kerasnya. Kalau diulang, saya akan ambil tindakan keras.

“Ini yang saya sebut membina mahligai atas pusara orang mati dan kita kerja setiap hari, bawa kes ini, minta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adakan sidang, bawa China, Rusia, Brazil, Bolivia, bincang dengan Jepun, dengan duta Belanda.

“Tapi mereka sewenang-wenangnya beri hukuman biadap dan kurang ajar,” katanya ketika sesi pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar merujuk kepada laporan akhbar Harakah bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin?’, yang turut memaparkan gambar beliau dengan latar belakang bendera Israel.

Susulan itu, Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) menyuarakan Peraturan Mesyuarat 36 dan meminta Perdana Menteri supaya menarik semula perkataan biadab serta kurang ajar kepada Dewan Ulama PAS.

Ahmad menyifatkan bahawa apa yang dimaksudkan laporan akhbar berkenaan itu adalah persoalan, bukan tuduhan seperti didakwa.

Howard Lee (PH-Ipoh Timor) kemudiannya bangkit mencelah dan memaklumkan bahawa peraturan berkenaan hanya terpakai untuk Ahli Dewan sahaja.

Anwar kembali bangkit dan menegaskan, gambar dengan latar belakang bendera berkenaan menyebabkan beliau marah dan laporan itu perlu diperbetulkan.

Terdahulu, beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI