GERIK – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan anak kandungnya yang berusia 12 tahun dalam kejadian di Kampung Perah dekat sini, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Zairi Mohamad Nawi, 37, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Savinder Singh.
Mengikut pertuduhan, duda kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap anak kandungnya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di Jalan Pasir Buaya, Kampung Perah, Gerik pada pukul 5 petang, 29 Oktober 2023.
Pertuduhan terhadap lelaki terbabit dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Bagi Seksyen 323, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan manakala bagi Seksyen 326A, dia boleh dikenakan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 323.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Atiyah Shafiee manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Murni Che Mood.
Terdahulu, Nor Atiyah mencadangkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan memohon tarikh sebutan semula untuk mendapatkan laporan perubatan mangsa.
Nur Murni bagaimanapun memohon jumlah jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh yang bekerja sendiri itu tidak memiliki pendapatan tetap selain perlu menanggung ibu bapa dan dua anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan hukuman tarikh lain pada 27 November depan sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
Semalam, lelaki tersebur turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang panjang berhulu plastik berwarna merah.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesalahan yang dilakukan di tepi jalan Kampung Perah, Gerik pada pukul 3.45 petang, 30 Oktober 2023. – KOSMO! ONLINE