fbpx

‘Datuk’ kelentong jual nama VVIP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lee (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung penipuan pelaburan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ di Hotel Eastin, Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ didakwa menipu ratusan pelabur dengan janji manis apabila menjual nama rakan kongsinya yang bergelar ‘Tan Sri’ melalui 18 syarikat pelaburan.

Tidak hanya menyasarkan rakyat biasa, malah syarikat swasta, kerajaan, golongan profesional seperti doktor serta pelabur antarabangsa turut dijadikan mangsa yang sehingga kini jumlah kerugian dianggarkan hampir RM 1 billion.

Sekretariat Mangsa Penipuan Ranjeet (Maper), Shah Abdul Malek, 50, berkata, individu berkenaan pada awalnya memberi jaminan pulangan yang tinggi sehingga enam peratus setiap bulan bagi setiap wang yang dilaburkan.

Menurutnya, dalam tempoh beberapa bulan, individu berkenaan tidak membayar pulangan dijanjikan, malah membuat ugutan akan melaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung punca kewangan pelaburnya yang melabur sehingga jutaan ringgit.

“Saya mengenali lelaki itu pada 2007 dan beliau mengambil saya sebagai penasihat sebelum dilantik sebagai pengarah salah sebuah syarikat miliknya.

“Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa malah turut melabur dan mengumpulkan wang daripada rakan, keluarga dan pelabur-pelabur lain.

“Selepas beberapa tahun saya dan pelabur lain mula berasa curiga apabila mendapati dia dipercayai membuat penipuan dalam pelaburan,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Eastin, di sini, hari ini.

Shah yang kini peniaga kosmetik memberitahu, cubaan mendapatkan semula wang pelaburan berakhir dengan kegagalan apabila hanya menerima separuh daripada RM5 juta yang dilaburkan.

“Saya terpaksa menjual rumah, kereta untuk membayar semula duit kepada rakan-rakan serta keluarga terdekat yang melabur dengan saya, beban hutang yang berlambak juga menyebabkan saya muflis,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa penipuan pelaburan dari United Kingdom, Lee Rogger Meiklejohn, 51, berkata, permulaan detik hitam ditipu individu berkenaan adalah pada tahun 2010 ketika bertemu di Glasgow, Scotland.

Katanya, beliau hanya menyedari ditipu sebanyak RM60 juta pada November 2017 selepas mengesyaki lelaki itu membuat representasi palsu berhubung pelaburan yang dikemukakan.

“Lelaki itu mendakwa seorang individu bergelar Tan Sri melabur jutaan ringgit ke dalam syarikat pelaburannya dan memaklumkan dalam proses mengambil alih sebuah syarikat telekomunikasi dalam tempoh terdekat.

“Dua kali saya datang ke Malaysia untuk bertemu dengannya, namun selepas November 2017, semua panggilan telefon dan email tidak dijawab,” katanya.

Menurut Lee, pihaknya membuat laporan polis berhubung pelaburan penipuan itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, semalam.

Shah memohon kepada mana-mana pihak yang menjadi mangsa individu berkenaan supaya menghubunginya di talian 014-2214433 atau emel [email protected].

“Kita mahu menghalang lebih ramai lagi menjadi mangsa penipuan lelaki berkenaan dan mencari jalan mendapatkan balik wang serta harta yang ditipu.

“Harapan saya Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk mengambil maklum isu ini dan bertindak dengan adil,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI