KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebarkan berita palsu isu kemasukan warga India ke Malaysia penyebab Covid-19 melalui rakaman audio visual dua tahun lalu.
Hakim N.Priscilla Hemamalini membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lokman, 50, di akhir kes pendakwaan.
“Sehubungan itu, OKS (orang kena saman) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu,” katanya.
Pada 1 Oktober 2021, OKS mengaku tidak bersalah menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus Covid-19.
Penyebaran melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam pada 3 Mei 2021.
Rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pukul 4.40 petang pada 9 Mei 2021.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan bermula 6 Mac lalu, seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh manakala Lokman diwakili peguam Logen Eskander.
Sementara itu Lokman, ketika ditemui media di luar mahkamah selepas prosiding, melahirkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya.
“Saya bersyukur dan gembira ini kes kedua saya dilepas dan dibebaskan,” katanya.
Pada 23 Jun lalu, Mahkamah Sesyen di sini turut melepas dan membebaskan Lokman daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman Facebook miliknya berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin pada 2021. – KOSMO! ONLINE