ALOR GAJAH – Seorang ibu merayu bantuan orang ramai untuk membantunya meraih dana sebanyak RM50,000 bagi menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang untuk didermakan kepada anak ketiganya, Nur Najihah Mohd. Fadzli, 15, yang menghidap masalah radang organ tersebut sejak Disember tahun lalu.
Pembedahan itu dijadualkan pada 28 November ini di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor.
Fasehha Radzuan, 34, berkata, dia buntu untuk mengumpul wang sebanyak itu memandangkan suaminya bekerja sebagai tukang servis penapis air dengan gaji RM2,000 sebulan.
Katanya, ujian berat menimpa keluarganya bermula apabila anaknya mengalami simptom batuk dan bengkak mata sebelum dikejarkan ke Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ujarnya, hasil ujian sampel buah pinggang menunjukkan bacaan kreatinin Nur Najihah mencecah 1,100, umol/L (normal di bawah 100 umol/L) sebelum disahkan menghidap penyakit radang buah pinggang.
“Kini Jiha (Nur Najihah) melakukan dialisis. Badan Jiha makin lemah dan jalan terbaik adalah melakukan pemindahan buah pinggang,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Tambahnya, selepas membuat 21 ujian padanan, buah pinggangnya lebih sesuai berbanding suami.
“Sepatutnya Jiha dibedah di Hospital Selayang yang tidak perlu bayar kos tinggi, tetapi dia perlu tunggu giliran.
“Doktor minta kami cari lokasi lain. Tempat sesuai di Hospital Al-Sultan Abdullah,” katanya.
Orang ramai boleh membantu menerusi akaun CIMB 7637-9546-64 atas penama Fasehha Radzuan atau menghubunginya di talian 017-636 1073.