SHAH ALAM – Sebanyak 29 sindiket berjaya ditumpaskan melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM306.31 juta dalam tempoh 10 bulan tahun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan tersebut melibatkan lebih 3,000 kilogram dadah dengan 2,244.12 kg daripadanya adalah jenis syabu.
Katanya, kesemua dadah itu boleh dibekalkan kepada 7.4 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran.
“Kita turut menumpaskan empat kes makmal dadah haram dan menangkap 18,911 individu berkaitan kes dadah,” katanya pada sidang akhbar pelupusan barang kes dadah Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Jelas beliau, pihaknya turut menyita aset seperti wang tunai, kenderaan, hartanah dan kediaman bernilai RM11.43 juta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 sepanjang tempoh sama.
“Kejayaan tangkapan dan rampasan besar ini adalah hasil usaha gigih pegawai dan anggota polis di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Hussein menjelaskan, sejumlah 1991.26 kg dadah bernilai RM42.26 juta yang dirampas dari 2016 hingga tahun ini akan dilupuskan di Port Dickson, Negeri Sembilan. -KOSMO!ONLINE