SEPANG – Tujuh sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Batu 31, Kampung Sri Tanjung di sini, dinaiki air pada kedalaman satu meter akibat hujan lebat petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.36 petang.
Ujarnya, dua jentera dan bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya serta Dengkil tiba di lokasi kira-kira pukul 6.04 petang.
“Banjir akibat hujan lebat berterusan pada petang tadi menyebabkan air naik hingga kedalaman satu meter.
“Satu keluarga terdiri dari tujuh orang berjaya dipindahkan oleh pihak bomba ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE