KUALA LUMPUR – Sebanyak RM96 juta telah disalurkan kepada 2,672 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan pelaksanaan sebanyak 6,697 program yang melibatkan pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dengan penyertaan hampir 1 juta peserta di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu diberikan sejak Bantuan Khas Perbendaharaan (BKP) diperkenalkan pada tahun 2001 sehingga ke tahun 2023.
Katanya, bantuan kewangan BKP itu diagihkan bagi menggalak penyertaan dan penglibatan NGO dalam program khidmat kebajikan selain bertindak sebagai rakan kongsi kementerian dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada kumpulan sasar Kementerian.
“Kementerian sedar peranan NGO sebagai perantara antara Kerajaan dan kumpulan sasar adalah penting supaya manfaat daripada program-program tersebut akan dapat dirasai sehingga di peringkat akar umbi.
“Selain itu, NGO juga dilibatkan dalam pelbagai sesi dan sumbang saran (brainstorming) yang dianjurkan oleh Kerajaan bagi mendapatkan idea dan pandangan tentang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya semasa merasmikan Program Jalinan Kasih KPWKM bersama NGO di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.
Dalam pada itu Nancy berkata program Jalinan Kasih antara KPWKM dan NGO dicipta sebagai platform kerjasama agar hala tuju dan agenda pemerkasaan wanita, keluarga, dan masyarakat di peringkat kebangsaan adalah selari dengan matlamat dan tindakan di peringkat NGO.
“Inisiatif ini menyediakan peluang kepada NGO untuk memberikan pandangan dan cadangan yang akan meningkatkan program, mengukuhkan peranan NGO, serta memperluaskan kerjasama strategik antara KPWKM dan NGO.
“Hal ini penting supaya kita membawa satu suara yang sama dalam usaha pembangunan sebuah masyarakat Malaysia Madani ini,” ujarnya.
Pada majlis itu juga katanya, satu direktori yang mengandungi maklumat berkaitan NGO yang menawarkan perkhidmatan berkaitan kumpulan sasar KPWKM juga dilancarkan bagi memudahkan rujukan dibuat oleh kumpulan sasar Kementerian yang memerlukan bantuan NGO.- KOSMO! ONLINE