KLANG – Tindakan dua kapal dipercayai melakukan operasi pemindahan 400,000 liter minyak diesel tanpa kebenaran terbongkar apabila dikesan di sekitar sekitar perairan Kapar di sini, semalam.
Kejadian itu dikesan kira-kira pukul 12.15 tengah malam sebelum penahanan dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri, Komander Maritim Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, pemeriksaan mendapati satu daripada kapal tersebut merupakan kapal MT Tuah Sejagat yang berdaftar di Malaysia dengan mempunyai enam kru warga Indonesia.
“Kapal itu didapati sedang memindahkan diesel kira-kira 400,000 liter ke kapal MT Scorpio yang juga berdaftar di negara ini.
“Ia turut membawa kru melibatkan sembilan warga Indonesia, dua warga tempatan dan seorang Myanmar,” katanya hari ini.
Tambah Mohd. Sharenliza, kesalahan dilakukan antaranya gagal mengemukakan dokumen kebenaran melakukan pemindahan minyak.
“Empat kru kapal itu ditahan dan dibawa ke pejabat Maritim Selangor bagi siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE