PETALING JAYA – Purata simpanan persaraan yang diperlukan bagi membolehkan seseorang individu itu bersara dengan selesa adalah kira-kira RM3.9 juta, demikian menurut laporan Kualiti Hidup HSBC yang dikeluarkan di sini.
Keputusan itu diperoleh daripada hasil kaji selidik dan tinjauan mengenai konsep kualiti hidup yang baik merentasi generasi berbeza dalam golongan individu kaya di sembilan pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Hong Kong dan United Kingdom.
Menurut kaji selidik tersebut, nilai purata persaraan yang selesa sebanyak RM3.9 juta itu adalah lebih rendah daripada nilai simpanan persaraan di Hong Kong (RM5.2 juta), Singapura (RM4.4 juta) manakala UK (RM3.6 juta) dan UAE (RM3.3 juta).
Bagi responden milenium yang berumur dari 25 hingga 39 tahun di Malaysia pula melihat purata RM4.86 juta diperlukan untuk bersara dengan selesa, Gen X (berumur 40-54 tahun) RM4.53 juta manakala golongan boomer (berumur 55-69 tahun) RM2.57 juta.
“Tabungan peribadi, diikuti oleh skim simpanan persaraan serta dana saham dan pelaburan bon individu adalah sumber pendapatan utama yang mereka harapkan untuk digunakan apabila mereka bersara,” jelas Ketua Kekayaan dan Perbankan Peribadi Peringkat Negara, Linda Yip.
Beliau berkata, tinjauan Kualiti Hidup ini memberi gambaran yang menarik tentang keperluan holistik golongan kaya di Malaysia yang mana aspek pengukuhan kewangan adalah penting bagi mereka, begitu juga kesejahteraan fizikal dan mental.
“Kepentingan perancangan kewangan yang mana individu itu bergantung sepenuhnya kepada pendapatan gaji dan warisan (harta daripada peninggalan) sahaja, jadi sumber kekayaan tersebut mungkin tidak mencukupi dalam jangka masa panjang.
“Oleh itu, kita perlu menyediakan portfolio kewangan yang pelbagai dan kukuh,” ujarnya.
Tambah Yip, mencarum kepada pelan pencen adalah permulaan yang baik dan langkah tambahan lain adalah dengan melabur dalam aset kewangan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Selain itu, dalam tinjauan tersebut mendapati lebih daripada separuh atau 57 peratus daripada golongan kaya di Malaysia memaklumkan bahawa mereka prihatin tentang persaraan.
Jelasnya, terdapat tiga kebimbangan utama kumpulan tersebut berhubung persaraan iaitu penyusutan dalam kesihatan fizikal, kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi dan inflasi yang menjejaskan nilai simpanan persaraan mereka.
Selain itu, golongan kaya juga berhasrat untuk bersara awal pada usia 57 tahun iaitu tiga tahun lebih awal daripada umur persaraan wajib di Malaysia iaitu 60 tahun.
“Umur persaraan yang biasa di Malaysia adalah pada 57 tahun dan ia adalah yang paling rendah di antara sembilan pasaran yang dikaji, dengan UK mempunyai umur persaraan yang tertinggi iaitu 62 tahun iaitu empat tahun lebih rendah daripada umur persaraan berpencen UK iaitu 66 tahun,” ujarnya.
Dalam pada itu, kaji selidik mendapati, golongan individu kaya yang ditinjau juga berbeza pandangan mengenai rancangan untuk bekerja selepas bersara.
Sebanyak 44 peratus menyatakan bahawa mereka akan bekerja selepas bersara, manakala 44 peratus yang lain mengatakan mereka tidak akan bekerja dan baki 12 peratus pula masih belum membuat keputusan sekarang. -KOSMO! ONLINE