fbpx

NTIC mudahkan usaha tarik pelabur ke Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani.

IPOH – Pusat Inovasi Teknologi Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NTIC) yang diterajui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya memudahkan kerjasama antara syarikat multinasional dan tempatan dalam menarik pelabur di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif yang dilaksanakan NCIA itu sangat signifikan dalam menjayakan agenda kerajaan negeri untuk meningkatkan ekosistem dan kumpulan bakat di Perak.

“Inisiatif NCIA ini telah berjaya menarik pelaburan, memupuk perniagaan tempatan dan memperkasakan komuniti.

“Kami berharap meneruskan kerjasama dengan NCIA untuk terus menarik pelaburan, memupuk inovasi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Perak di sini hari ini.

Saarani berkata, NCIA juga bekerjasama dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bagi membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini untuk terus berkembang dan berdaya saing.

Beliau berkata, bagi merangsang PMKS Bumiputera untuk berkembang, NCIA menerusi program Dana Usahawan NCER telah memberi manfaat kepada 10 buah syarikat di Perak dengan agihan dana lebih RM16 juta.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, berkata, pihaknya akan terus komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Perak bagi membangunkan dan melaksanakan strategi yang akan meningkatkan daya tarikan negeri ini kepada pelabur dari dalam dan luar negara.

“Kami berbangga dengan kemajuan yang telah kami capai di Perak tetapi perjalanan kami tidak berakhir di sini. NCIA tetap berdedikasi untuk memupuk pertumbuhan ekonomi, memupuk inovasi dan memperkasakan komuniti,” katanya.

Katanya, NCIA terus memainkan peranan penting di Perak dalam melaksanakan program berteraskan Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) di Perak dan sehingga kini, seramai 5,333 peserta telah menjalani latihan kemahiran TVET untuk melengkapkan diri mereka untuk pasaran pekerjaan yang berkembang maju.

Beliau berkata, NCIA juga komited untuk memupuk PMKS yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti untuk penduduk tempatan.

“PMKS ini termasuk melibatkan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian moden. Hasil daripada usaha tersebut, NCIA berjaya manarik kemasukan lebih RM480 juta pelaburan langsung domestik (DDI) daripada lebih 8,700 perusahaan tempatan sejak 2019,” katanya.

Katanya, dalam sektor pelancongan pula, NCIA telah membantu membangunkan semula Taman Eko Rimba Lata Kinjang, dengan menaik taraf pelbagai kemudahan untuk pelancong.

Bahkan, katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menubuhkan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang (KOALK) bagi menguruskan kawasan pelancongan berkenaan yang berupaya meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

Sejak dibuka pada 2022, Taman Eko Rimba Lata Kinjang telah berjaya menarik seramai lebih 110,000 pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus membantu KOALK menjana pendapatan sebanyak RM1.27 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI