PETALING JAYA – Skuad hoki dalam dewan lelaki negara membuktikan keinginan mereka untuk melangkah ke pentas final Piala Sultan Nazrin Shah di Ipoh, Perak bukan sekadar omong kosong.
Ia berdasarkan kejayaan hebat skuad negara dengan membelasah Australia pada aksi pertama kejohanan hoki dalam dewan antarabangsa itu di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.
Kemenangan itu membuktikan Malaysia selaku juara Asia, mampu menewaskan gergasi-gergasi dunia seperti Australia yang berada satu anak tangga iaitu No.14 di atas skuad negara, No.15 dunia.
“Alhamdulillah perlawanan pertama ini kita dapat sesuaikan diri dengan cepat seawal suku pertama. Ia memudahkan kita untuk mencari jaringan di suku perlawanan yang seterusnya.
“Perubahan taktikal permainan yang lebih mudah menyebabkan kita berjaya mendapat jaringan demi jaringan dalam perlawanan ini,” kata ketua jurulatih skuad dalam dewan lelaki negara, Mohd. Hanip Che Halim.
Muhamad Izham Azhar muncul wira Malaysia apabila berjaya meledak hatrik pada minit ke-23, 24 dan 35.
Baki lima lagi gol Malaysia dihasilkan oleh Danial Asyraf Abdul Ghani pada minit kesembilan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (m-13), Muhammad Firdaus Omar (m-16), Faridzul Afiq Mohd. (m-22) dan Mohd. Shafiq Yaacob (m-32).
Dua gol Australia yang dikendalikan oleh Christine Brady dijaringkan oleh Jett Leong dan Ross Hall masing-masing pada minit ke-10 serta 14.
Skuad negara akan turun aksi kedua menentang pasukan ranking ke-13 dunia, Namibia untuk aksi seterusnya pada pukul 5.30 petang ini. – KOSMO! ONLINE