SAUDARA PENGARANG,
SAYA tertarik dengan isu minggu lalu di akhbar ini yang mendedahkan bahawa hampir separuh rakyat Malaysia tiada simpanan kecemasan walaupun RM1,000.
Betul, saya bersetuju dengan kenyataan itu, kerana saya dan beberapa kawan turut mengalaminya walaupun tergolong dalam golongan M40.
Manakan tidak, perbelanjaan harian ketika ini meningkat lebih sekali ganda, sebagai contoh harga beras sekitar RM26 bagi 10 kilogram sebelum ini, sekarang mencecah lebih RM35.
Itu belum lagi yang jenis bekerja, terpaksa makan di luar ketika hari bekerja dan hanya memasak bila hari cuti.
Bila makan bungkus nak cari nasi berlauk bawah RM5 memang mimpilah kalau sekitar Kuala Lumpur, mesti harganya lebih RM10 dengan satu lauk, sayur dan segelas teh ais.
Pada pengamatan saya, selain kos sara hidup, faktor gaji juga menjadi salah satu penyumbang mengapa kami sukar menyimpan.
Gaji kebanyakan kami ditakuk lama, malah ada yang kerja berpuluh tahun masih gaji ketika tahun 2015.
Hakikatnya, walaupun tergolong dalam golongan M40, tetapi apabila berada di bandar besar seperti ibu kota, kami jadi ‘miskin bandar’.
Cukai kena bayar, sumbangan tunai rahmah tidak dapat, malah beberapa subsidi lain mungkin ‘ditarik’ selepas ini.
Bukan nak menafikan rezeki, tetapi hakikatnya itulah nasib dialami golongan seperti kami.
Sikit masa lagi mungkin makan pun akan bercatu sekiranya keadaan ekonomi seperti ini berterusan, nak menyimpan jauh sekalilah.
M4O pening
Kepong, Kuala Lumpur