PERUBATAN merupakan satu bidang yang penting kerana ia menjadi ‘penawar’ kepada pelbagai masalah kesihatan.
Bagaimanapun, tidak semua generasi muda masa kini memilih untuk mendalami bidang itu.
Namun, tidak buat Humerah Hussain Sajjad Hussain, 22, yang memilih untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Farmasi di Management & Science University (MSU) Shah Alam, Selangor.
Humerah yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, dia ingin berkhidmat kepada masyarakat dalam bidang perubatan terutama perniagaan farmasi selepas tamat belajar kelak.
“Sebelum ini, saya belajar di MSU dalam bidang sama tetapi di peringkat diploma. Ketika itu, saya berpeluang merasai pengalaman berkhidmat secara praktikal di hospital dan kedai farmasi.
“Apabila didedahkan dengan pengalaman sedemikian, saya telah jatuh cinta dengan kerjaya dalam bidang perubatan,” katanya.
Mengulas mengenai kerjaya sebagai ahli farmasi, dia memberitahu, ia bukan tugas mudah seperti yang disangka oleh masyarakat.
Dia memberitahu, ubat diberi berdasarkan preskripsi doktor, tetapi setiap ubat yang disenaraikan perlu difahami fungsi-fungsinya.
“Sebagai ahli farmasi kita perlu tahu tentang pelbagai jenis ubat. Justeru, kita kena tahu banyak penyakit dan simptom.
“Ia memang sukar untuk dihafal, tetapi kalau banyak latihan dan menghadap ubat sama, mungkin saya boleh hafal,” jelasnya.
Tambahnya, di negara ini, penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi mempunyai ramai penghidap.
Justeru katanya, tenaga pakar dalam bidang farmasi semakin diperlukan pada masa depan bagi mengubati penyakit tersebut.
“Setiap perkara memerlukan minat. Namun, ia perlu dibaja dan disemai dengan ilmu.
“Bidang farmasi mendapat permintaan selaras jumlah peningkatan pesakit saban hari kerana faktor makanan,” ujarnya.
Sementara itu, Humerah menambah, bapanya, Sajjad Hussain Rajalal Hussain Khan, 52, dan ibunya, Siti Zaharah Ujang, 59, sentiasa meniupkan motivasi kepada dirinya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Dia yang datang daripada keluarga usahawan turut berminat untuk berniaga dalam bidang farmasi iaitu menjual ubat-ubat.
“Sudah pasti saya ingin berniaga seperti bapa dalam bidang pakaian, sementara ibu dalam perniagaan kedai runcit dan dobi.
“Sebagai peniaga, mungkin saya boleh menjual ubat-ubatan dengan harga mampu milik untuk golongan B40,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai isu semasa, Humerah berkata, semua pemimpin perlu bersatu hati dan menggembleng idea bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat terutamanya melibatkan makanan asas.
Dia berpendapat, peperangan di Ukraine dan Semenanjung Gaza, Palestin ketika ini sudah pasti menyebabkan suasana ekonomi dunia semakin gawat.
“Sebagai generasi muda, saya memohon pemimpin kita kekal fokus dengan agenda menjaga kebajikan rakyat sebagaimana janji-janji mereka semasa kempen pilihan raya,” katanya.
Menyentuh mengenai aktiviti meningkatkan kemahiran kendiri, Humerah berkata, sistem pendidikan di MSU bukan sahaja melibatkan akademik, malah mengasah bakat kepimpinan.
Dia berkata, bidang kepimpinan memerlukan setiap anggota mendengar arahan ketua agar semua pihak bergerak sederap ke destinasi diarahkan.
“Di MSU, pihak pentadbiran mewujudkan program bersifat mendidik supaya kami menjadi pemimpin bermula daripada dalam kelas sehingga persatuan atau kelab.
“Dalam masa dua tahun setengah ini, saya berazam untuk menabur bakti di peringkat MSU dengan menyantuni masyarakat yang mungkin mengalami musibah,” ujarnya.