PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua ketua jabatan kerajaan meneliti setiap teguran dan syor yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Perdana Menteri berkata, penelitian itu harus dibuat bukan sahaja melibatkan perkara menyentuh mengenai jabatan berkenaan, tetapi melihat keseluruhan usul dan cadangan menerusi laporan itu untuk memperbaiki tatakelola pengurusan serta pentadbiran.
Katanya, ini termasuk menilai soal ketirisan dan kerugian kepada negara yang mencecah berbilion ringgit, sama ada ia disebabkan pemberian subsidi tersasar atau tidak memberi perhatian serius terhadap setiap teguran dalam LKAN yang dikeluarkan setiap tahun.
“Saya betul-betul berharap setiap ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua setiausaha kementerian harus meminitkan perbincangan mengenai LKAN supaya disampaikan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).
“Langkah ini supaya dapat dipastikan agar dibincangkan kerangka besar isu laporan dan teguran LKAN dan (apa sahaja terkait) secara khusus yang menyinggung kedudukan di jabatan itu.
“Dengan cara demikian, ia tidak diulang masalah sama,” katanya ketika perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Anwar berkata, ulasan LKAN adalah menjadi amalan ketika beliau menjawat Menteri Kewangan dalam pentadbiran kerajaan terdahulu yang ketika itu mempengerusikan Jawatankuasa Antirasuah.
Kata beliau, ada masalah yang dibangkitkan menerusi laporan itu masih berulang berlaku setiap tahun kerana pemantauan yang lemah.
“Contohnya ada jam yang patut RM400 tapi caj RM4,000. Ada buku sekolah tak sampai kepada pelajar tetapi dibayar (peruntukan itu), perkara begini kadang-kadang berulang kerana pemantauan lemah.
“Ini yang kita kata kerja tanpa nilai. Jadi mudah-mudahan dapat digabungkan (kerja dengan nilai) supaya jangan jadi slogan sahaja, tapi dapat dihayati,” katanya. – KOSMO! ONLINE