SEGAMAT – Lima sekeluarga yang dihalau keluarga mentua akibat menghidapi penyakit tuberculosis atau tibi terpaksa tinggal di dalam kereta berhampiran Hospital Segamat dua bulan lalu kini menumpang di rumah pusaka ibu demi kelangsungan hidup.
Menurut Mohd. Faisal Kamarozaman, 36, mereka sekeluarga kini berhijrah ke Johor Bahru dan berteduh di rumah pusaka ibunya.
“Saya dan anak-anak masih lagi menghidap tibi. Segala ubat-ubatan dan rawatan kami dapati dari Klinik Kesihatan Larkin.
“Kami berhijrah ke Johor Bahru untuk mencari rezeki memandangkan di Segamat tiada siapa mahu menerima kami.
“Saya kini bekerja sebagai pemandu jurujual dan masih mengekalkan prosedur pemakaian penutup mulut serta jarak bagi mengelak jangkitan.
“Saya tiada pilihan. Saya perlu keluar bekerja untuk mencari sesuap rezeki menyara isteri serta anak-anak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Faisal, isterinya Susilawati Asmarajaya, 29, yang tidak menghidap tibi bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Segamat terpaksa berhenti kerja kerana menjaga anak-anak yang sakit sebelum ini.
“Buat masa ini, belum ada janji temu di hospital lagi untuk kami anak-beranak. Semua fail kesihatan di Hospital Segamat.
“Alhamdulillah, kami menerima bantuan kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan berjumlah RM550, tetapi ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian.
“Sebelum ini suami saya membantu adiknya berniaga burger di Johor Bahru, tetapi dengan keadaannya yang masih menghidap tibi, dia tidak dapat bekerja lagi atas nasihat doktor,” ujarnya.
Terdahulu, kisah menyayat hati lima sekeluarga ini tular di media sosial apabila seorang pengguna, Nordarlina Yusof berkongsi nasib malang mereka yang ditemui meletakkan kereta di salah sebuah stesen minyak berhampiran Hospital Segamat.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd. Faisal menerusi talian 016-728 6831 atau isterinya, Susilawati 011-73429634 atau akaun CIMB 7629120542 (Susilawati).