fbpx

‘Kalau bagi kenyataan, saya ke penjara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Fathi bersama peguamnya selepas prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Klang. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KLANG – Seorang penceramah bebas berharap mendapatkan perbicaraan adil terhadap sembilan pertuduhan yang dihadapi termasuk merogol seorang remaja perempuan 14 tahun di Mahkamah Sesyen di sini.

Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 31, berkata, dia tidak pernah terlepas dalam menghadiri sebarang prosiding ke mahkamah sehingga hari ini.

“Saya datang untuk bersihkan nama. Sudah tentu berharap satu perbicaraan yang adil. Doakan perbicaraan ini berjalan dengan baik dan terima kasih kepada pihak media,” katanya ketika ditemui luar galeri Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bapa kepada lapan orang anak itu turut berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi ekoran mempunyai keluarga untuk dijaga selain anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

“So far (setakat ini), saya tidak boleh buat apa-apa keterangan dari tahun lepas sampai sekarang sebab saya dilarang untuk sensasikan berita ini di media-media.

“Cuma ada orang tanya, kenapa tidak ada kenyataan. Saya tidak boleh keluarkan sebarang kenyataan sebab masih dalam jaminan, kalau keluar juga (kenyataan) saya ‘ke dalam’ (masuk penjara),” jelasnya.

Terdahulu, Hakim Syafeera Mohd. Said. membenarkan penangguhan prosiding perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini kepada esok selepas mendengar permohonan daripada pihak pendakwaan.

Muhammad Fathi (depan) bersama barisan peguamnya selepas prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Klang. – Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Mahkamah bagaimanapun menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan 7,8, 9 dan 14 November ini berjalan seperti biasa.

Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Nur’ Ayuni Jamri memohon perbicaraan ditangguhkan susulan pegawai penyiasat (IO) kes sedang cuti sakit selepas menjalani pembedahan tumor di kepala di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Ada satu barang kes iaitu telefon bimbit di bawah kendalian beliau (pegawai penyiasat) dengan IO ganti perlu merujuk kepada IO asal bagi barang kes tersebut.

“IO ganti memaklumkan akan mendapatkan barang kes itu pada petang ini sebelum dibawa bagi proses perbicaraan esok,” katanya.

Permohonan itu tidak dibantah peguam mewakili tertuduh iaitu Samry Masri, Ainul Azwan, Khairul Naim Rafidi, Wafiy Musa, Khairunnisa Zamhari dan Azlinie Othman.

Prosiding itu turut dihadiri Peguam Saphira Selamat dari Jabatan Bantuan Guaman mewakili keluarga mangsa.

Muhammad Fathi yang mempunyai tiga isteri didakwa atas tujuh pertuduhan merogol seorang remaja perempuan yang kini berusia 14 tahun mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang mempunyai lapan anak berusia dua hingga 12 tahun itu turut menghadapi tuduhan amang seksual ke atas mangsa sama di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, sekiranya disabitkan kesalahan.

Selain itu, Muhammad Fathi juga dituduh melakukan perhubungan seks dengan objek ke atas mangsa sama mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan boleh sampai 30 tahun serta sebatan.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire di kawasan parkir dan hadapan sebuah surau serta dalam sebuah hotel di Bandar Puncak Alam antara Jun 2021 dan  Februari tahun ini.

Kosmo! pada 19 Julai tahun lalu melaporkan seorang penceramah bebas bergelar ustaz berusia 30an ditahan kira-kira pukul 4.50 petang pada 18 Julai tahun lalu selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI