KOTA SAMARAHAN – Pembekuan cuti kepada 80 hingga 100 peratus adalah antara pendekatan strategik yang diambil oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) bagi mengoptimumkan fungsi dan kekuatan keanggotaan di seluruh negara dalam menghadapi tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
Ketua Pengarah Bomba Malaysia, Datuk Srri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, selain itu adalah pertukaran shif daripada 12 jam kepada 24 sehingga 50 peratus di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dan mobilisasi anggota antara balai dan negeri serta pengaktifan Pasukan Gerak Cepat MTL Red Team.
Pada masa sama, beliau berkata JPBM juga akan bekerjasama dengan 358 balai pasukan bomba sukarela di seluruh negara dengan keanggotaan 7,898 bomba sukarela bagi memastikan jumlah keanggotaan yang mencukupi bagi menghadapi bencana di seluruh negara.
“Kesemua 337 BBP akan beroperasi pada tahap yang optimum bagi menghadapi bencana banjir dalam tempoh MTL ketika ini, dengan keanggotaan keseluruhan 13,435 pegawai bomba sepenuh masa dan 2,204 pegawai bomba bantuan,” katanya ketika berucap sempena perasmian BBP Asajaya yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di sini, hari ini.
Abdul Wahab menambah, dari segi persediaan logistik, sebanyak 1,150 buah kenderaan logistik darat dan air pelbagai fungsi termasuk kenderaan angkut ringan, kenderaan angkut berat dan kenderaan marin juga bersedia untuk digerakkan ke lokasi kecemasan dan bencana.
Selain itu, katanya, aset udara bomba iaitu helikopter dan dron juga bila-bila masa sahaja bersedia untuk digerakkan sekiranya diperlukan.