HULU LANGAT – Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan harga ayam di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak masih lagi dalam keadaan stabil dan terkawal.
Menurut pemangku menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali, harga ayam yang lebih tinggi di Sabah dan Sarawak adalah isu biasa dan bukanlah sesuatu di luar kebiasaan.
“Mungkin ada sedikit kekeliruan (mengenai harga ayam di Sabah dan Sarawak). Harga yang dipamer adalah harga yang dikawal sebelum 1 November lagi.
“Sejak dahulu lagi, bagi Sabah, Sarawak dan Labuan memang (harga ayam) lebih tinggi berbanding Semenanjung Malaysia. Kalau di sini (Semenanjung Malaysia), harganya adalah RM9.40 sekilogram.
“Di Sabah dan Labuan harga ditetapkan ialah RM11.30. Di Sarawak, lebih unik kerana ada sembilan harga berbeza yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di sidang akhbar Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 di Pertubuhan Kebajikan Jayaa Sri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan menteri KPDN, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan.
Menurutnya, apabila harga ayam diapungkan, ada pihak tertentu yang membuat perbandingan mengenai harga di Semenanjung Malaysia dan di Sabah dan Sarawak.
“Sememangnya ada berlaku kenaikan harga, tetapi di tempat-tempat tertentu. Pihak KPDN akan menangani satu-satu isu secara bersasar mengikut lokaliti.
“Penguatkuasaan akan dilakukan mengikut aduan atau melalui pemantauan kita sendiri. Kita akan turun dan lihat dan bertanya pada peniaga-peniaga yang terlibat,” ujarnya.
Tambah Armizan, harga di Sabah, Sarawak dan Labuan masih terkawal dan sekiranya ada kenaikan harga, pihak KPDN akan melakukan siasatan untuk kenalpasti isu disebaliknya.
Tambahnya, isu harga ayam di Sabah dan Sarawak boleh ditangani dengan perancangan rapi dan kerjasama pelbagai pihak.
“Di Sarawak, harga ayam terendah ialah RM9.90 dan tertinggi pula adalah RM18.90. Namun, ini berlaku di Lawas dan Limbang disebabkan masalah logistik.
“Bagaimanapun, hasil pemantauan sejak 1 November, di Semenanjung Malaysia, harga ayam bersih standard termurah adalah RM5.90, jauh lebih rendah berbanding harga siling RM9.40.
“Mengikut laporan, harga tertinggi ialah RM10.50 di Mentakab, Temerloh dan Pasar Awam Matang, Perak,” katanya.
Tambah Armizan, pihak KPDN sentiasa memastikan penawaran bekalan ayam ditambah dengan harga Jualan Rahmah pada kadar diskaun di antara 10 hingga 30 peratus menerusi Program Jualan Rahmah (PJR) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. – KOSMO! ONLINE