fbpx

15 minit air sudah paras lutut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaraan menunjukkan barangan serta perkakas dirumahnya yang rosak akibat banjir di Kampung Bangi Tambahan.

BANGI – “Kami hanya ada masa 15 minit untuk tinggalkan rumah sebelum air naik lebih tinggi paras lutut,” kata Zaraan Mokhtar, 59, penduduk Kampung Bangi Tambahan ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, ini adalah banjir yang paling teruk dialami sepanjang tempoh 13 tahun menetap di situ.

“Walaupun air tak mencecah bumbung rumah, tetapi masa diambil untuk air itu naik ke paras lutut sangat cepat dan keadaannya ketika itu juga deras. Sudah lapan kali banjir, tetapi ini yang paling teruk.

“Dalam pukul 4 pagi semalam kami sekeluarga tak dapat tidur sebab dah agak air akan naik ekoran hujan tak berhenti, saya sempat selamatkan kereta dan nyawa sahaja lain semuanya ‘habis’,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, dianggarkan kerugian hampir RM30,000 dialami disebabkan bencana yang mengejut itu.

Seorang lagi mangsa banjir, Mahni Mohamad, 65, berkata, dia tidak menolak kemungkinan bahawa pembangunan pesat di sekitar menjadi punca bencana di kawasan perumahannya.

Katanya, bagi tempoh 30 tahun menetap di Kampung Baru Tambahan, di sini, ini antara banjir yang teruk menimpa dirinya.

“Dulu tak pernah banjir, rasanya sekitar 2016 banjir mula jadi setiap tahun. sebelum ini juga (air) paras dada dan kali ini juga sama tapi lebih laju masa diambil untuk banjir.

“Kalau saya menetap di rumah sewa saya sudah lama berpindah, tapi ini rumah yang saya sendiri bina, mesti saya nak tinggal di sini,” katanya ketika ditemui.

Menurut ibu kepada empat anak itu, kejadian yang berlaku pada pukul 4.30 pagi merupakan detik yang mencemaskan bagi dirinya.

“Waktu itu semua orang sedang tidur kemudian riuh di luar pagar rumah dengan orang kampung memberi amaran berlaku banjir sekitar pukul 4 pagi.

“Dalam masa 30 minit sahaja air sudah mula naik melepasi buku lali. Tak sempat selamatkan semua barang, hanya dapat bawa baju, dompet dan kereta sahaja. lain semua tinggal,” katanya.

Tambah Mahni, pihaknya sudah lama menyuarakan isu berhubung siren kecemasan yang terletak di perumahannya untuk diselenggara secepat yang mungkin agar mangsa banjir dapat bersiap lebih awal.

“Saya tak ingat tetapi dulu mereka ada selenggara siren kecemasan itu, sekarang hanya potong rumput sahaja di kawasan balai raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI