PETALING JAYA – Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang bersikap neutral terhadap peperangan Palestin-Israel atau menyebelahi tindakan Zionis.
Menerusi perkongsiannya di laman Instagram, selebriti berkenaan tidak dapat menerima cara permikiran pro-Israel yang menetap di Malaysia.
“Negara Malaysia pun baru 66 tahun saja merasa kemerdekaan selepas kita dijajah oleh British.
“Kau tahu tak betapa susahnya nenek moyang kita dulu nak capai kemerdekaan ini. Mereka berjuang bermati-matian untuk kita cucu cicit ni merasa kemanisan kebebasan ini.
“Sekarang ini, Israel itu penjajah. Sama seperti negara yang dijajah, kita nak kemerdekaan itu. Samalah seperti Palestin,” katanya.
Tambahnya, tindakan Palestin untuk menyerang kembali serangan Israel merupakan satu tindakan yang wajar.
“Kalau negara kau dijajah, tak akanlah kau akan berdiam diri saja tanpa membuat serangan semula.
“Mereka (Palestin) mahu bebas daripada cengkaman kuku besi Israel. Mereka (Palestin) mahu negara mereka semula. Apa yang kau orang semua tak faham sangat ni?,” marahnya dalam video.
Ujarnya, secara demografi Malaysia-Palestin mungkin berbeza tetapi secara konteksnya, ia sama.
“Jadi, sebelum korang nak umumkan yang korang ini neutral mahupun menyebelahi negara Zionis itu, kaji dahulu sejarah negara sendiri,” jelasnya.
Beliau turut berkata video yang dimuat naik itu memang dituju khas buat penyokong Israel tetapi masih menetap di Malaysia. – KOSMO! ONLINE