SUNGAI PETANI – Kerajaan yakin dengan keupayaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
dalam melakukan rawatan kepada pesalah dadah apabila golongan itu tidak lagi dimasukkan ke dalam penjara sekiranya Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dipinda di Parlimen kelak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, AADK berada pada tahap siap siaga daripada semua segi termasuk logistik dan perjawatan.
“Bila kita pinda Akta Penagih Dadah, fungsi melaksanakannya itu akan terpikul kepada AADK. Bahkan pindaan ini bukan sekadar satu keputusan politik oleh pemerintah tetapi juga disambut baik oleh AADK.
“Hakikat bahawa AADK menyambut baik pindaan ini, itu sendiri mengesahkan bahawa AADK berada pada tahap siap siaga daripada segi logistik, perjawatan ataupun daripada segi semua prasyarat lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang keupayaan AADK susulan cadangan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi memberi peluang kedua buat penagih dadah mendapatkan rawatan untuk pulih daripada penagihan tanpa dimasukkan ke dalam penjara.
Terdapat lebih 5,000 perjawatan dalam AADK dan 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara.
Saifuddin sebelum itu menyampaikan Sijil Amalan Rawatan dan Pemulihan, Sijil Amalan Penguatkuasaan dan Sijil Amalan Pendidikan Pencegahan kepada 385 graduan daripada kalangan kakitangan AADK di Pusat Latihan AADK Sungai Petani, hari ini.
Menurutnya, kerajaan akan terus memberikan komitmen kepada AADK dalam memastikan segala proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Bukan bermaksud bila kita pinda di Parlimen, kemudian diwartakan ketika AADK sudah berada dalam keadaan siap siaga kerajaan wajar lepas tangan tanpa sebarang dokongan tambahan, itu tidak akan berlaku.
“Maka sebab itulah, saya ingin mengulangi tekad dan komitmen bahawa kita akan terus mendokong sesuai dengan pindaan yang akan dibuat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya, selain AADK, pihak komuniti juga penting dalam menyokong dan membantu usaha memulihkan pesalah dadah.
“Bukan sahaja keluarga yang ahli keluarganya terlibat masalah dadah tetapi juga komuniti secara keseluruhannya,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Jabatan Penjara juga menjalankan modul seperti melaksanakan program parol, perintah kehadiran wajib dan pembebasan berlesen.
“Dari situ, kita ada kolaborasi dengan lebih 300 syarikat untuk mengambil banduan bekerja. Di kalangan penghuni penjara yang melalui jalur ini, bagi setiap 800 dibebaskan, seorang sahaja yang akan mengulangi (kesalahan),” katanya. – KOSMO! ONLINE