TUMPAT – Seorang penyeludup tidak sempat memperoleh upah RM550 dengan membawa sebanyak 156 kotak rokok bernilai RM1.18 juta termasuk cukai selepas dicekup di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu dekat sini dua minggu lalu.
Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira 10.30 malam pada 24 Oktober lalu apabila lori yang dipandunya diekori anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejauh 10 kilometer dari Palekbang di sini.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, dapati lelaki terbabit dipercayai memandu lori jenis Nissan sebelum mengambil kesemua rokok tersebut dari kawasan pangkalan haram di sini dan menuju arah ke Kota Bharu.
Menurutnya, suspek dipercayai akan membawa rokok-rokok tersebut ke Lembah Klang sebelum kenderaan dipandunya ditahan di Jalan Sultan Yahya Petra.
“Hasil pemeriksaan, anggota penguat kuasa menjumpai 156 kotak rokok yang mengandungi 7,800 karton rokok seludup yang dianggar bernilai RM140,400 dengan nilai cukai sebanyak RM1 juta.
“Lelaki itu dipercayai mengambil upah sebanyak RM550 untuk satu trip perjalanan dari Kelantan ke Lambah Klang,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM, Pengkalan Kubor di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE