fbpx

KSM jamin keselamatan warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar ketika berucap di sidang akhbar Program Jelajah MADANI Bersama Menteri Sumber Manusia Di Negeri Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Taman Gombak Permai, Batu Caves, di sini, hari ini. FOTO oleh M FIRDAUS M JOHARI

BATU CAVES – Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi jaminan pekerja warga asing di negara ini dapat terus bekerja dalam keadaan yang selamat dan kondusif.

Menterinya, V. Sivakumar berkata, kementerian memandang serius perkara tersebut dan tidak menggalakkan sebarang tindakan terhadap warga asing diambil di luar undang-undang negara.

“Saya berharap, sesiapa yang terlibat dengan perkara ini tidak mengulanginya pada masa hadapan dan hindari unsur-unsur buruh paksa dalam negara kita.

“KSM juga akan menjalankan operasi seluruh negara dari semasa ke semasa untuk memastikan perkara sama daripada tidak berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Jelajah MADANI Bersama Menteri Sumber Manusia Di Negeri Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Taman Gombak Permai, Batu Caves, di sini, hari ini.

Terdahulu, aktivis hak asasi migran, Andy Hall melaporkan lebih 200 pekerja berbangsa Bangladesh dan Nepal yang bekerja di sebuah kilang memproses ayam di Lembah Klang diancam untuk dihantar pulang.

Andy Hall berkata, ugutan itu dibuat oleh pengurusan kilang selepas pihak berkuasa campur tangan apabila mereka dimaklumkan mengenai keadaan kerja yang tidak kondusif dan pembayaran gaji yang tertunda.

Mengulas mengenai isu rakyat Malaysia yang ditipu ketika bekerja di luar negara, Sivakumar menasihatkan anak muda agar tidak mudah terpedaya dengan janji palsu ejen yang menjanjikan bulan dan bintang.

“Sebelum ke luar negara, lakukan pemeriksaan terlebih dahulu. Jangan mudah terpedaya dengan ejen.

“Kementerian juga telah melakukan pelbagai usaha melalui TalentCorp untuk membantu anak-anak muda terutamanya pelajar yang bakal memasuki alam pekerjaan.

“Kami juga telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan melalui industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya rakyat dapat bekerja di sini dan tidak bergantung dengan pekerjaan di luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI