fbpx

Kritikan Malaysia terhadap Israel sangat efektif – Penganalisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA siri demonstrasi secara besar-besaran dilakukan oleh rakyat Malaysia bagi mengkritik tindakan Israel di bumi Palestin. – Gambar hiasan

KONFLIK yang berlaku di Tebing Barat antara Palestin dan rejim Zionis telah berlarutan sejak penubuhan negara Israel pada 15 Mei 1948. Sejak awal bulan lalu, konflik berkenaan kembali memuncak selepas rejim Zionis mula membedil Semenanjung Gaza dengan rakus.

Malah, serangan tersebut diberi ‘lampu hijau’ oleh kebanyakan negara Barat yang dilihat menyokong Israel terutamanya menerusi laporan media milik mereka.

Namun, kehadiran aplikasi media sosial yang memaparkan situasi sebenar perang itu telah berjaya menarik sokongan masyarakat dunia terhadap warga Palestin.

Bagi mengupas mengenai peranan yang boleh dimainkan Malaysia serta Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam konflik itu, wartawan Kosmo Ahad!, SITI SARAH NURUL LIYANA menemu bual Pakar Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof. Madya Dr. Azmi Hassan baru-baru ini.

KOSMO AHAD!: Selepas hampir sebulan konflik Palestin-Israel tercetus, pada pengamatan Prof., apakah yang boleh disimpulkan terhadap situasi yang berlaku di sana ketika ini?
AZMI HASSAN: Medan perang. Tetapi medan perang yang majoritinya mangsanya adalah orang awam.
Pihak yang menyerang iaitu askar rejim Israel (IDF) tidak peduli dengan kehadiran orang awam, biarpun di medan perang ia mempunyai kekangan perundangan antarabangsa.

Umpamanya, tempat ibadat, sekolah dan hospital tidak boleh dijadikan sasaran walaupun terbukti musuh berselindung di situ. Namun, telah terbukti IDF menjadikan hospital, rumah ibadat dan sekolah sebagai sasaran. Maksudnya, tiada tempat selamat di setiap sudut Gaza.

Seperti semua sedia maklum, konflik Palestin-Israel ini bukanlah kali pertama berlaku kerana telah tercetus sejak 1940-an dan tidak pernah berakhir. Apakah perbezaan konflik yang tercetus pada kali ini berbanding sebelum-sebelumnya?

Dua konflik besar iaitu Perang 1967 dan Perang 1973 yang mana beberapa entiti berperang dengan Israel iaitu Syria, Jordan dan Mesir.
Tamat Perang 1967, Israel merampas Bukit Golan daripada Syria, Baitul Maqdis Timur dan Tebing Barat terlepas daripada Jordan, sementara

Mesir kehilangan Gaza dan Semenanjung Sinai.

Kemungkinan perang kali ini akan menyaksikan Palestin kehilangan separuh daripada Gaza. Persamaan antara konflik sebelum ini dan sekarang ialah Palestin kehilangan lebih banyak wilayah mereka.

Bermula minggu lalu, rejim Zionis telah memulakan serangan darat di Semenanjung Gaza. Apakah yang kita boleh jangkakan daripada tindakan ini? Adakah Israel ingin menawan Semenanjung Gaza memandangkan ia satu-satunya kawasan yang belum dikuasai mereka?
Pada 2005, Israel berundur dari Gaza kerana sukar untuk jajah kawasan itu. Kemungkinan kali ini rejim Zionis mahu jadikan Gaza seperti Tebing Barat iaitu penguasaan jajahan bukan secara keseluruhan.

Sekarang 60 peratus (%) kawasan Tebing Barat dikuasai rejim melalui penempatan haram dan pos kawalan IDF yang memudahkan tentera keluar masuk Tebing Barat.

Kali ini rejim Zionis mahu kuasai 50% Gaza supaya lebih mudah dijajah dan dikawal seperti Tebing Barat.

Rata-rata negara di seluruh dunia mengutuk tindakan kejam tentera Zionis terhadap rakyat Palestin. Malah, ia diterjemahkan dalam undian Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Malangnya, saranan gencatan senjata ditolak oleh Israel. Boleh Prof. ulas perkara ini?
Jika resolusi melalui Majlis Keselamatan PBB (UNSC), Israel tidak akan endahkan. Malah, awal-awal lagi tak lepas kerana kuasa veto daripada Amerika Syarikat (AS).

Walaupun Sidang Khas Tergempar (ESS) Ke-10 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ini tiada kekuatan undang undang, tetapi mempunyai kemampuan moral kerana semua negara diberi hak satu undi dan tiada kuasa besar boleh vetokannya.

Semua 120 negara sokong resolusi Jordan itu adalah manifestasi sokongan majoriti masyarakat dunia. Paling penting, kita perlu perhatikan negara mana yang tolak usul gencatan senjata itu.

AS dan Israel sudah pasti tolak dan 12 negara lain adalah negara kecil. Tidak kelihatan satu negara pun sekutu AS seperti Kesatuan Eropah bersama-sama dengan Israel. Ini adalah manifestasi betapa tersisihnya pendirian AS dan Israel.

Selepas kegagalan Resolusi PBB, apakah tindakan seterusnya yang boleh dilakukan oleh masyarakat dunia bagi menghalang ‘kegilaan’ rejim Zionis terhadap Palestin ketika ini, sekali gus mengurangkan jumlah mangsa korban?
Semua 120 negara yang menyokong resolusi UNGA ini termasuk Malaysia tidak mengharapkan Israel akan akur, tetapi ia dianggap sebagai permulaan tekanan masyarakat antarabangsa terhadap AS dan Israel.

Rakyat AS daripada kumpulan Yahudi banyak melakukan protes pro-Palestin untuk memaksa White House buat keputusan betul.

Begitu juga rakyat Israel telah mula rasa tidak puas hati terhadap Netanyahu dan cara kerajaannya menangani isu ini terutamanya berkaitan tebusan dan kegagalan Shin Bet menghidu perancangan Hamas. Tekanan dalaman seperti ini dianggap lebih efektif berbanding resolusi UNSC atau UNGA.

ISRAEL terus rakus membedil beberapa kawasan penempatan penduduk di Palestin. – Gambar fail

Ada negara-negara Islam terutamanya berhampiran Tebing Barat memilih untuk berdiam diri sedangkan saudara seagama mereka dibunuh dengan kejam? Mengapakah ini berlaku? Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh negara-negara Islam ini?
Berdiam diri mungkin ketika minggu pertama konflik tercetus kerana naratif yang dijual AS dan Israel adalah serangan Hamas berlaku tanpa provokasi.

Setelah masuk minggu kedua, kebanyakan negara Asia Barat mula menyuarakan bantahan dan apa yang tercetus di Sidang Kemuncak di

Kaherah yang dipengerusikan oleh Presiden Mesir, Sisi Al Fatah.

Ini merupakan pertama kali negara Arab bersatu hati mengkritik Israel dan AS. Malah, negara yang menjalin hubungan diplomatik dengan

Israel melalui Perjanjian Ibrahim seperti Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu pun bersama-sama kritik Israel. Ia satu permulaan yang baik untuk negara-negara Arab bersatu hati.

Malaysia merupakan salah sebuah negara Islam yang lantang mengutuk kekejaman Israel di Palestin. Malangnya, ada pihak telah mengugut Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Justeru, adakah Malaysia perlu tunduk dengan ugutan tersebut?
Berbanding negara di luar Asia Barat lain, Malaysia adalah negara paling lantang kritik Israel.

Malah, apabila PM menghubungi terus pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, ia adalah manifestasi sokongan padu Kuala Lumpur terhadap penduduk Gaza dan Palestin.

Ugutan kepada PM dari satu sudut adalah positif kerana kelantangan Malaysia. Walaupun datang daripada negara kecil, namun ia begitu efektif sekali.

Hakikatnya, dasar Kuala Lumpur adalah selari dengan kehendak rakyat dan tidak lari daripada dasar sedia ada. Seharusnya juga kita berbangga dengan pendirian tegas PM apabila berhadapan dengan tekanan antarabangsa.

Baru-baru ini, ada pihak yang mendesak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar tentera kita ke Palestin. Adakah negara kita boleh berbuat demikian kerana ada pihak yang mendakwa kita terikat dengan perjanjian Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM)?
Pembentukan tentera pengaman perlu ada mandat daripada PBB melalui resolusi UNSC. Umpamanya, pasukan pengaman angkatan tentera

Malaysia MALBATT di Lebanon adalah mandat UNSC dan PBB.

Jika resolusi gencatan senjata pun telah diveto oleh AS, apatah lagi resolusi penghantaran tentera pengaman PBB. Sudah pasti akan ditentang oleh AS kerana akan menyebabkan berlaku gencatan senjata.

Malah, untuk menghantar bantuan kepada penduduk Gaza pun, kita berhadapan dengan seribu dalih oleh Israel.

Dalam keadaan sekarang, apakah langkah terbaik yang boleh diambil bagi menghentikan perang ini? Adakah dengan memberi tekanan kepada Israel menerusi memboikot produk negara berkenaan akan berkesan?
Tekanan dari luar kepada AS melalui kuasa besar yang lain seperti Russia, China dan EU adalah jalan paling efektif. Tekanan seperti ini telah pun bermula dengan resolusi gencatan senjata di sidang tergempar UNGA. Namun, tekanan lebih efektif adalah tekanan dalaman.

Kongres AS sama ada Dewan Perwakilan atau Senat adalah hampir 100% menyokong Israel. Jika ada satu dua wakil rakyat seperti

RashidaTalib dari Michigan yang pro-Palestin, beliau akan diugut untuk berdiam diri.

Kita menantikan tekanan daripada rakyat AS sendiri seperti yang telah tercetus di Bangunan Capitol minggu lepas dan di Stesen Grand Central, New York beberapa hari lepas. Tekanan dalaman adalah paling efektif supaya White House bertindak lebih berperikemanusiaan.

Jika keadaan ini berterusan dan melarat, apakah kemungkinan yang boleh kita jangkakan?
Negara jiran seperti Iran dan Syria yang pro-Palestin pasti akan ambil tindakan ketenteraan jika keadaan berterusan melarat. Sebab itu Israel dan AS sudah mula mengebom fasiliti tentera di Lebanon dan Syria sebagai langkah awal bagi mengekang pembabitan negara jirannya.

Begitu juga dengan kehadiran dua kapal pengangkut jet, Eisenhower dan Gerald Ford di Laut Mediterranean.

Hakikatnya, apabila tentera darat Israel mula menceroboh Gaza secara besaran, maka amat sukar untuk negara Arab lain berdiam diri. Selama ini konfrontasi hanya melalui kumpulan proksi sahaja iaitu Brigade Al Qassam, Islamic Jihad dan Hizbullah.

Jika keadaan menjadi bertambah buruk mungkin organisasi tentera negara Arab akan turut campur tangan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI