BANDAR GAZA – Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza menyatakan bahawa badan dunia itu kini sudah tidak mampu melindungi kira-kira 600,000 rakyat Palestin yang berlindung di sekolah-sekolah kendaliannya di Semenanjung Gaza yang terkepung, lapor akhbar Palestine Chronicle.
Kira-kira 600,000 penduduk kini berlindung daripada serangan askar Rejim Zionis di institusi-institusi berkaitan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) dengan sebahagian besarnya ialah sekolah.
Pengarah UNRWA di Semenanjung Gaza, Thomas White berkata, orang ramai berlindung di lokasi-lokasi tersebut dengan harapan mendapat perlindungan undang-undang kemanusiaan di bawah naungan PBB.
“Sejujurnya, tiada lagi tempat yang selamat di Gaza. Kami tidak mampu lagi menjamin keselamatan orang ramai di bawah nama PBB,” kata White kepada wakil-wakil PBB dalam laporan terkini keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Tambah White, lebih 50 kemudahan PBB musnah akibat dibedil askar Rejim Zionis termasuk lima yang disasarkan secara langsung sehingga membunuh 38 penduduk yang berlindung.
Beliau turut meluahkan kebimbangan bahawa angka itu akan meningkat secara signifikan terumatanya di utara Semenanjung Gaza, di mana UNRWA terputus hubungan dengan kebanyakan pusatnya.
“PBB menjadi satu-satunya harapan penduduk Gaza hari ini. Saya bimbang sekiranya kita tiba pada suatu hari di mana tiada lagi bendera PBB dikibar di Gaza,” ujarnya.
Sejak 7 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 72 kakitangan UNRWA terbunuh akibat serangan askar Israel yang menyasarkan orang awam termasuk kakitangan PBB, perubatan serta sukarelawan. – AGENSI