BANDAR GAZA – Lebih 30 orang terbunuh dalam satu serangan bom askar Israel ke atas sebuah kem pelarian di tengah Gaza lewat semalam, demikian menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan oleh Hamas.
“Lebih 30 jasad dibawa ke Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir Al-Balah dalam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Rejim Zionis di kem Al-Maghazi, tengah Semenanjung Gaza,” kata jurucakap kementerian berkenaan, Ashraf Al-Qudra.
Hamas dalam satu kenyataan yang dimuat naik di saluran Telegram berkata, askar Israel menyasarkan rumah orang awam dengan kebanyakan yang terbunuh ialah wanita dan kanak-kanak.
“Serangan udara Israel menyasarkan rumah jiran saya di kem Al-Maghazi, manakala rumah saya sebahagiannya runtuh,” kata Mohammed Alaloul, yang merupakan seorang wartawan agensi berita Anadolu.
Alaloul kehilangan anak lelakinya yang berusia 13 dan empat tahun, selain saudara lelakinya dalam serangan tersebut. – AFP