RAMALLAH, TEBING BARAT – Seorang penduduk Palestin di Tebing Barat berkongsikan detik dia dan dua lagi lelaki diseksa serta dimalukan selepas ditahan oleh sekumpulan askar dan peneroka Israel yang berpakaian seragam tentera, lapor saluran berita NBC News semalam.
Lima hari selepas serangan kumpulan Hamas pada 7 Oktober lalu, Mohamad Mattar dan dua lagi rakyat Palestin di Tebing Barat ditahan dan dibawa ke kandang biri-biri berhampiran kampung mereka di Wadi al-Seeq, timur Ramallah.
Menurutnya, di sana, kumpulan lelaki Israel tersebut membogelkan mereka, mengikat, merakam gambar dan membuang air kecil ke atas mereka.
Salah seorang daripada mereka cuba menyerang Mattar secara seksual menggunakan kayu dan apabila dia melawan, lelaki itu memukulnya selama 10 minit sehingga kayu itu patah tiga.
“Dia memberitahu bahawa dia akan membunuh saya dan akan membuat anak-anak saya kelaparan. Dia menuang air sejuk ke atas badan saya dan mengarahkan saya berguling di atas baja. Kemudian dia terus memukul saya,” katanya.
Kejadian menimpa Mattar adalah salah satu krisis yang semakin meningkat di Tebing Barat, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kumpulan hak asasi manusia dan penduduk tempatan. Askar Israel dan peneroka pelampau menakut-nakutkan, menyalahgunakan dan membunuh rakyat Palestin di sana.
Kerajaan gabungan berhaluan kanan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dilaporkan menyerahkan raifal kepada peneroka haram Yahudi dan menurut PBB, ia turut membenarkan mereka mengganggu dan membunuh rakyat Palestin tanpa mengenakan hukuman. – AGENSI