GAYA hidup mewah yang dipamerkan seseorang adakalanya menyebabkan rasa cemburu, lebih-lebih lagi dalam kalangan rakan terdekat.
Bagi Mila (bukan nama sebenar), kehidupan mewah dan kesenangan hidup teman serumahnya, Aina (bukan nama sebenar) telah menjadikan dirinya begitu cemburu sehingga sanggup mencuri barangan mewah milik wanita itu.
Kongsi Mila, semuanya berlaku sekitar empat tahun lalu ketika dia mula-mula menyewa di kondominium milik Aina selepas berpindah ke cawangan baharu syarikatnya yang terletak di ibu kota.
“Syarikat tempat saya bekerja berpangkalan di Johor Bahru dan apabila mereka membuka cawangan di ibu kota, saya antara pekerja yang dipindahkan ke cawangan baharu itu.
“Ketika itulah saya mula berkenalan dengan Aina,” dedahnya kepada Panorama.
Aina merupakan seorang wanita cantik yang bekerja sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta.
Aina juga dilahirkan dalam keluarga berada dan tinggal seorang diri di kondominium mewah itu.
Namun, dia yang takut tinggal seorang diri kemudiannya menyewakan salah satu bilik kondominumnya dengan harga yang agak berpatutan.
“Selepas tinggal serumah dengan Aina, saya mendapat tahu Aina sebenarnya seorang yang penakut.
Oleh sebab itu, dia menyewakan bilik di rumahnya itu untuk menemaninya.
“Kami kemudian menjadi rapat. Selain cantik, Aina juga seorang wanita yang baik dan juga pandai memasak,” kata Mila.
Namun, gaya hidup mewah Aina kemudiannya menjadikan Mila tiba-tiba dikuasai rasa iri.
Aina hanya memakai barangan berjenama, malah barangan runcit yang dibelinya juga dari pasar raya atasan yang berharga mahal.
Mila mengakui, rasa cemburu itu kemudian menyebabkan dirinya bertindak melampaui batas apabila kerap masuk ke dalam bilik Aina setiap kali teman serumahnya itu tiada di rumah.
Jelas Mila, pada awalnya, dia hanya membelek-belek barangan mewah milik Aina seperti tas tangan, baju dan alat solek, namun lama-kelamaan, dia mulai berminat dengan barangan tersebut dan mula mencurinya tanpa pengetahuan Aina.
“Saya tidak rasa saya akan mampu membeli barangan tersebut sepanjang hidup saya.
“Entah mengapa, saya tiba-tiba jadi sakit hati terhadap Aina dan mulai mengambil barangan tersebut tanpa pengetahuannya,” tutur Mila.
Mila mulai mencuri alat solek Aina dan apabila wanita itu bertanya kepada Mila tentang kehilangan barangan tersebut, Mila akan meyakinkan Aina bahawa alat solek itu mungkin tercicir di dalam kereta atau di pejabatnya.
“Namun lama-kelamaan, saya berani mencuri beg tangan Aina dan tidak menjangka perbuatan saya menyebabkan dia menjadi semakin curiga.
“Aina kemudiannya bertanyakan tentang perkara tersebut kepada saya, namun saya tidak mengaku dan mengalihkan cerita kononnya berkecil hati.
“Untuk menutup kesalahan saya, saya berdrama dan memberitahu Aina saya berkecil hati apabila dia menuduh saya mencuri tas tangannya.
“Aina kemudiannya meminta maaf, menyebabkan saya berasa lega kerana tidak terkantoi,” kata Mila.
Mila mengakui dia bukan sahaja mencuri bahkan selepas itu tergamak menjual tas tangan mewah yang dicurinya itu di pasaran terpakai dan menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan lain.
Adakalanya, dia juga akan membelikan sesuatu buat Aina dan memberitahu wanita itu bahawa dia mendapat wang daripada kerja lebih masa.
Mila akui seronok menghabiskan wang yang bukan miliknya kerana Aina tidak langsung mengesyaki perbuatan tersebut, mungkin dia telah termakan dengan drama yang dimainkan Mila sebelum ini.
Begitu pun, semuanya terbongkar apabila Aina yang sebelum ini tidak pernah masuk ke dalam bilik Mila mulai menggeledah bilik Mila, lalu menemui beberapa barangan miliknya yang telah dicuri.
“Aina mengamuk apabila mendapat tahu saya telah menjual tas tangan miliknya dan dia anggap saya telah berjoli dengan menggunakan wang tersebut.
“Saya dihalau keluar oleh Aina dan walaupun dia tidak meminta saya untuk membayar semula wang-wang tersebut, namun Aina menegaskan dia tidak akan sesekali menghalalkannya.
“Sejujurnya saya amat terkesan dengan kata-kata Aina. Tiba-tiba saya rasa takut dan bersalah. Saya sedang berusaha membayar semula wang daripada hasil barangan yang telah saya curi kepadanya kerana enggan rasa bersalah itu menghantui saya sepanjang hidup,” kata Mila menutup bicara.