PETALING JAYA – Guru selain pemandu bas dan lori antara lima pekerjaan berisiko tinggi mendapat penyakit arthritis atau radang sendi susulan situasi bekerja yang dilalui golongan tersebut.
Selain mereka, pekerja sektor pembinaan, bekas atau ahli sukan selain pekerja pejabat termasuk dalam golongan berisiko tinggi mendapat penyakit berkenaan.
Pakar Runding Ortopedik Arthroskopik Bahu dan Lutut, Hospital Columbia Asia Cheras, Dr. Azfar Rizal Ahmad berkata, guru merupakan pekerjaan berisiko bagi penyakit itu kerana mereka berjalan dan berdiri untuk tempoh masa yang lama.
“Sekolah sekarang ini banyak tiga hingga empat tingkat dan mereka berjalan ke kelas. Perlu panjat tangga sama seperti murid dan sebab ini, mereka mudah mendapat arthritis.
“Bagi pemandu lori dan bas, mereka memandu berjam-jam untuk jarak jauh. Ketiga, pekerjaan berat untuk sektor pembinaan yang memerlukan angkat beban berat semasa bekerja.
“Seterusnya, ahli sukan atau bekas ahli sukan mungkin masa muda aktif dan banyak menang kejohanan sebagainya. Kelima ialah pekerja pejabat yang duduk berjam-jam lapan, sembilan jam sehari tanpa melakukan pergerakan,” katanya menerusi video di TikTok.
Dr. Azfar Rizal berkata, antara amalan harian yang boleh meninggikan risiko penyakit tersebut seperti berdiri jangka masa lama, banyak menggunakan tangga, selalu cangkung dalam jangka lama, memandu untuk tempoh lama tanpa menggerakkan lutut selain aktiviti mendaki dan sukan agresif yang melibatkan banyak pergerakan.
Sementara itu katanya, faktor risiko kepada seseorang untuk mendapat arthritis seperti obesiti, kurang bersenam, pernah mengalami kecederaan lutut atau kemalangan selain masalah penjajaran sendi. – KOSMO! ONLINE