HAMBURG, JERMAN – Trafik di Lapangan Terbang Hamburg dihentikan dan keseluruhan terminal dipindahkan malam semalam berikutan babak tebusan yang dipercayai berpunca daripada pertikaian hak penjagaan anak, demikian menurut polis.
Seorang jurucakap polis berkata, kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan), seorang lelaki bersenjata memandu kereta dan merempuh kawasan keselamatan menuju ke arah landasan pesawat.
Dia melepaskan dua das tembakan ke udara.
Tambah polis, sekurang-kurangnya dua individu termasuk seorang kanak-kanak berada di dalam kereta tersebut, manakala isteri suspek membuat panggilan kecemasan yang memberitahu polis bahawa anaknya diculik.
“Kami berada di lokasi kejadian di samping sejumlah besar pasukan perkhidmatan kecemasan. Kami menganggap ia sebagai situasi tebusan statik,” kata polis Hamburg di platform X.
Kereta tersebut masih berada di lokasi kejadian, manakala polis percaya pertikaian hak penjagaan anak adalah punca kejadian tersebut.
Beberapa pakar psikologi dan pakar rundingan dikerah ke lokasi kejadian dan sedang berunding dengan suspek. – AFP