KEMAMAN – Seorang lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan dakwaan dia melakukan amang seksual terhadap dua anak saudaranya yang masing-masing berusia empat dan lima tahun di Chukai di sini.
Suspek berusia 45 tahun diberkas polis berikutan laporan polis yang telah dibuat salah seorang ahli keluarganya pada pukul 4.50 petang.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, laporan polis tersebut dibuat selepas mangsa mendakwa seluarnya dibuka sebelum dicabul suspek.
“Pada mulanya, mangsa mengadu alat sulitnya sakit kepada bapanya. Sehubungan itu suspek telah ditahan lagi membantu siasatan.
“Kedua-dua mangsa telah dirujuk ke Hospital Kemaman di sini bagi melakukan pemeriksaan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Hanyan berkata, bapa saudara dua kanak-kanak perempuan itu telah ditahan reman selama enam hari bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE