KAJANG – Seramai 150 penduduk terpaksa berpindah akibat banjir yang melanda di sekitar Bangi dan Semenyih, pagi tadi.
Kesemua mangsa dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di balai raya majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bangi dan Tadika Perpaduan Taman Bangi Ria.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kesemua mangsa dipindahkan selepas mendapat maklumat mengenai banjir.
Katanya, kerja penyelamatan membabitkan anggota daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bangi, BBP Kajang, dan BBP Semenyih.
“Banjir di Jalan Semenyih Indah 16 membabitkan air sedalam 1.52 meter menjejaskan 14 rumah dan seramai 50 mangsa dipindahkan pihak bomba.
“Di Kampung Bangi Lama, sebanyak 10 rumah terjejas akibat air banjir setinggi paras pinggang (dewasa), yang mana seramai 50 mangsa dipindahkan pihak bomba manakala kira-kira 100 lagi berpindah sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mukhlis, dianggarkan hampir 30 rumah terjejas akibat banjir di kawasan berkenaan sejak awal pagi tadi.
Katanya, pemerhatian pihak bomba mendapati trend air menunjukkan penurunan namun pasukan penyelamat akan terus bersedia untuk sebarang kemungkinan.-KOSMO! ONLINE.