fbpx

Aksi Harimau Malaya, Kyrgyztan kekal di Bukit Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STADIUM Nasional Bukit Jalil kekal menjadi venue perlawanan Harimau Malaya menghadapi Kyrgyztan pada 16 November selepas pemeriksaan padang mendapati keadaannya lebih baik berbanding ketika Pestabola Merdeka bulan lalu.

SKUAD Harimau Malaya me­nerima tonik terbaik apabila aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyztan pada 16 November depan kekal dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk bola sepak negara itu telah melakukan pemeriksaan terkini pada Khamis lepas untuk menilai kondisi padang.

Kata Noor Azman, keputusan untuk kekal bermain di SNBJ ini juga mengambil kira faktor-faktor sampingan lain terutama bagi memudahkan lebih ramai penyokong Harimau Malaya hadir memberikan sokongan.

“Pemeriksaan pada Khamis telah dihadiri Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac serta ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-on.

“PSM menerusi pandangan dan nasihat daripada pihak konsultan teknikal serta kontraktornya telah menyatakan bahawa padang berkenaan kini dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika Pestabola Merdeka bulan lalu.

“Dengan pengesahan terbaharu ini, segala persiapan menjelang perlawanan tersebut akan terus dipergiatkan bagi memastikan kelancaran pertandingan nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, keadaan padang SNBJ telah dikritik hebat ketika menganjurkan Pestabola Merdeka bulan lalu apabila mudah terkopak selepas digantikan dengan rumput lebih moden, Zeon Zoysia pada awal tahun ini.

Situasi tersebut sekali gus menolak idea beberapa pihak yang mencadangkan agar SNBJ ‘direhatkan’ untuk memastikan keadaan rumput matang dengan perlawanan antarabangsa ditukar ke venue di negeri lain.

Selepas aksi bertemu Kyrgyztan, skuad negara yang berada di ranking ke-137 dunia akan terbang ke Taipei untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang Taiwan 21 November.

Dua aksi antarabangsa ini menjadi medan penting buat pasukan kebangsaan yang akan mengharungi saingan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI