PETALING JAYA – ‘Sebelum orang tahu saya anggota bomba, saya dikecam teruk kerana video tular Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) itu’
Demikianlah luahan pemilik video tular dan juga bekas pelatih PLKN Pagoh tahun 2013, Che Ku Muhammad Rizzuwan Che Ku Mohsin.
Di dalam videonya yang tular itu, Muhammad Rizzuwan yang pada ketika itu berusia 18 tahun kelihatan ketakutan ketika menjalani latihan ‘abseiling’ sekali gus mencuit perhatian ramai pengguna media sosial.
Ujar jejaka berusia 28 tahun itu, dia tidak pernah menyangka akan tular sekali lagi kerana tidak pernah memuat naik semula video berkenaan sejak menjadi anggota bomba pada tahun 2015.
“Sebelum ini video tersebut pernah tular pada tahun 2017 selepas Ketua Platun saya muat naik di media sosial pada hari kelahiran saya. Sekarang tular balik mungkin sebab tengah hangat isu PLKN.
“Masa video itu tular, saya memang dikecam teruk. Dipanggil lemah, pengecut. Tetapi kebanyakan yang kecam semua tak tahu saya dah jadi anggota bomba.
“Bila ramai dah tahu, daripada bahan jenaka bertukar menjadi ‘respect’ (hormat). Sebab dari takut, kini menjadi berani.
“Sekarang pergi mana-mana pun orang akan kenal. Lagi-lagi saya selalu buat ‘talk’ dekat hospital-hospital berkenaan taklimat keselamatan kebakaran. Jadi kebanyakan orang mesti akan cam dan tegur saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mengimbas kembali, Muhammad Rizzuwan yang juga anak kelahiran Johor Bahru ini berkata, ketika menjalani latihan PLKN itu, dirinya berasa sangat teruja kerana itu merupakan pengalaman pertama buatnya.
“Tetapi bila sampai di atas, tak sama macam saya lihat dari bawah. Saya mengaku memang terlampau takut. Waktu itu pula saya memang tak perasan cikgu sedang rakam.
“Saya dapat tahu pasal video itu pun pada malam sebelum tamat latihan ada pertunjukan video montaj. Masa itu memang malu sangat-sangat,” katanya sambil tertawa.
Dalam pada itu, Muhammad Rizzuwan yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah berkata, dia sememangnya minat untuk menyertai pasukan keselamatan itu sejak dirinya di usia muda.
Bagi jejaka ini, menjadi anggota bomba bukan setakat memadam kebakaran sahaja tetapi juga menyelamatkan nyawa dan harta benda orang awam.
“Saya memang minat bomba. Bila dah masuk sini (bomba) baru saya tahu latihan di agensi ni lagi hebat dan susah daripada PLKN.
“Banyak saya belajar tentang penyelamatan contohnya tali yang boleh putus atau tidak. Dulu PLKN lima tingkat pun saya dah takut. Tapi sekarang tujuh ke lapan tingkat untuk latihan bomba saya tiada masalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE