BANGKOK – Sebuah video TikTok popular yang dimuat naik oleh seorang guru sekolah di Nong Bua Lam Phu tular kerana pandangan lucunya tentang pengalaman mengajar, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Meraikan setahun bergelar warga pendidik, guru khas sains itu mendapati dia terpaksa mengajar semua subjek selain melakukan tugas pentadbiran, mengecat bilik darjah, membaiki komputer, malah turut mengenakan mekap kepada pelajar.
Realiti seorang guru katanya, jauh daripada sangkaan sebelum ini.
Akaun TikTok Rungthiwa Banthao di mana dia berkongsi pengalamannya menerima pelbagai komen netizen dengan sesetengah mereka menganggap ia lucu sementara sebilangan yang lain mendapati perkara itu tidak wajar.
Kepelbagaian tanggungjawab seorang guru, terutamanya di sekolah pedalaman, telah mencetuskan perbincangan tentang tekanan yang dihadapi oleh warga pendidik.
Ramai netizen meminta pihak berkenaan campur tangan untuk menambah baik situasi tersebut.
Hantarannya juga mendorong sebilangan guru untuk berkongsi pengalaman serupa mereka melakukan pelbagai peranan di sekolah masing-masing.
Bagaimanapun di sebalik bebanan kerja yang banyak, Rungthiwa masih mengekalkan sikap positif dan menyuarakan kepuasan dalam kerjayanya, lapor akhbar KhaoSod.
“Walaupun saya menjadi pengetua kelak, saya akan memberikan 50 peratus gaji saya kepada guru,” katanya.
Video tersebut dimuat naik di laman TikTok pada 31 Oktober lalu. – AGENSI