fbpx

Peluang terbaik tamat penantian enam tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENG SOON (kanan) dan Yee See berjaya melangkah ke final Masters KL selepas menewaskan pasangan Taiwan di separuh akhir hari ini. - AMIR KHALID

PETALING JAYA – Bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon hanya selangkah lagi untuk menjulang kejuaraan pertamanya dalam tempoh enam tahun selepas mara ke final Kejohanan Badminton Masters Kuala Lumpur (KL) 2023.

Peng Soon yang kini bergandingan dengan Cheah Yee See, berjaya menewaskan beregu campuran Taiwan, Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun dengan keputusan 21-10, 22-20 pada aksi separuh akhir di Stadium Titiwangsa hari ini.

Ia sekali gus membolehkan pasangan No.44 dunia itu bertemu wakil Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong yang berada di ranking ke-72 dunia dalam perlawanan akhir hari ini.

Peng Soon, 35, kini berharap dapat menamatkan kejohanan itu dengan kejuaraan selepas kali terakhir dia dan Yee See merangkul gelaran antarabangsa ketika menjuarai Terbuka Rusia pada 2017.

“Memang saya sangat gembira dapat menjejakkan kaki ke final biarpun kejohanan ini hanya bertaraf Super 100. Saya dan Yee See telah beraksi dengan baik dan kami semakin yakin.

“Kejohanan ini penting untuk saya dan Yee See kerana sebelum beraksi di sini, kami tidak meraih sebarang keputusan yang memberangsangkan. Kami tidak mahu terlalu fikir terlalu banyak tetapi peluang sudah ada, kami akan cuba berhabisan-habisan,” katanya.

Jika mereka berjaya menaiki podium sebagai pemenang, ia bakal menjadi gelaran Jelajah Dunia yang pertama buat Peng Soon-Yee See sejak mereka kembali bersama tahun lalu.

“Esok sudah perlawanan terakhir, jadi kami akan cuba membuat persediaan yang rapi untuk menentang pasangan Thailand,” jelas Yee See.

Pasangan Thailand itu mara ke final selepas menewaskan beregu campuran muda negara, Choong Hon Jian-Go Pei Kee 21-17, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI