MIRI – Seorang pastor kerugian RM430,000 selepas terjerat dengan sindiket penipuan pelaburan saham yang diiklankan di Facebook.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ketika melayari media sosial itu pada 19 Julai lalu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an tertarik dengan iklan pelaburan saham luar negara.
Iklan itu dimuat naik atas nama Masterpeng Fengshui.
Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dan berurusan dengan seorang wanita bernama Yuki bagi urusan pembelian saham pelaburan menggunakan laman sesawang di pautan https://www.kaiduoli.com.
“Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan 10 peratus seminggu. Mangsa membuat 11 kali transaksi pemindahan wang berjumlah RM430,000 ke dalam tiga akaun bank bermula sejak awal September hingga bulan lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dia ditipu apabila suspek meminta untuk membuat pembayaran tambahan sebanyak RM300,000 sedangkan dia hanya menerima pulangan keuntungan RM3,000.
Ekoran itu, mangsa membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE