SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan akan menubuhkan Tabung Kelestarian Alam Sekitar tahun depan bertujuan mengukuhkan usaha menjaga dan memulihara alam sekitar secara lebih meluas.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua industri di negeri ini wajib menyumbang kepada tabung berkenaan dan sumbangan itu bergantung kepada sejauh mana peranan mereka di negeri ini.
Katanya, dana tabung itu akan digunakan untuk pendidikan dan kerja-kerja yang mampu meningkatkan kelestarian alam sekitar di negeri ini.
“Kerajaan negeri mahu setiap industri sama ada besar atau kecil mempunyai peranan dan memikul tanggung jawab menjaga dan memulihara alam sekitar.
“Usaha ini mesti dilakukan sepanjang tahun dan bukan terhad kepada sambutan hari alam sekitar semata-mata,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 peringkat negeri di sini hari ini.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri berharap masyarakat secara umum akan meraih manfaat yang baik daripada penubuhan tabung itu. – KOSMO! ONLINE