ATHENS, Greece – Seorang pelancong dari Mexico mengalami patah tulang rusuk akibat diserang seekor rusa ketika cuba merakam foto, lapor akhbar Metro UK semalam.
Gian Carlo Triacca, 42, sedang bercuti di kawasan pantai Greece bersama isterinya, Erika, 40, apabila pasangan itu tertarik melihat kumpulan rusa liar.
Ketika cuba merakam gambar seekor rusa di hadapan mereka, seekor lagi rusa bergerak ke arah Triacca lalu menanduk belakang badannya sehingga menyebabkan tulang rusuk lelaki itu patah.
Triacca yang menetap di bandar Cancun berkata: “Saya sedang merakam gambar seekor rusa kecil di hadapan saya, tiba-tiba seekor rusa jantan menyerang belakang saya.
“Beberapa tulang rusuk saya patah, meninggalkan kesakitan selama beberapa hari. Namun, saya bernasib baik kerana kecederaan tidak begitu teruk.
“Saya tidak pergi ke hospital, saya hanya menggunakan banyak ubat dan air,” katanya. – Agensi