KONSEP ‘rumahku syurgaku’ bukan hanya tertumpu kepada rumah yang besar dengan hiasan atau perabot mewah, tetapi sesebuah rumah itu perlulah mempunyai nilai keselesaan buat penghuni dan juga nilai kekeluargaan yang tinggi.
Konsep menjadikan rumah yang dihuni umpama syurga adalah cukup penting kerana selepas seharian bekerja, rumah menjadi tempat atau ruang untuk melepas lelah dan menghabiskan masa bersama keluarga tersayang.
Bagi pempengaruh media sosial popular, Syamimia, biarpun tinggal di sebuah rumah flat atau rumah pangsa di ibu kota, dia cukup menitikberatkan hiasan dalaman yang kemas dan cantik bagi memastikan kediaman itu cukup selesa untuk dihuni keluarga kecilnya.
Tidak hairanlah, nama wanita berusia 27 tahun itu cukup dikenali kerana sering berkongsi hiasan dalaman kediamannya yang terletak di ibu kota.
Sekali pandang, kediaman jenis flat yang dihuni Syamimia bersama suami dan seorang anak lelaki mereka itu cukup memukau, umpama sebuah kondominium mewah.
Konsep skandinavian moden yang digabung Syamimia menjadikan kediaman kecilnya itu tampak luas dan kemas.
Kongsi ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia pada mulanya tidak berniat untuk menjadi seorang pempengaruh yang memuat naik kandungan jenis dekorasi, namun perkongsian sebegitu yang mula menaikkan namanya di media sosial.
“Jika diikutkan, saya sebenarnya bermula dengan memuat naik kandungan masakan di platform TikTok, namun ada juga sesekali memuat naik kandungan dekorasi kediaman.
“Begitupun, kandungan dekorasi pula yang semakin diminati oleh pengikut-pengikut saya sehingga kini,” katanya yang akan terus berkongsi kandungan dekorasi sebagai ilham buat pengikut setianya.
Rona putih menjadi warna utama pada kediaman Syamimia, sekali gus menyerlahkan estetika moden yang cuba diterjemah pada kediaman itu.
Sofa jenis fabrik daripada rona krim menjadi pilihan Syamimia yang dipadankan dengan kabinet televisyen rona putih untuk kesenadaan.
Ruangan itu juga cukup ringkas tanpa hiasan-hiasan yang sarat.
Menjengah ke ruangan meja makan keluarga, Syamimia dan suaminya, Husni sepakat memilih meja makan rona putih dipadankan bersama kerusi makan dengan sedikit elemen rotan.
Sebagai penyeri ruang, satu lampu gantung berbentuk bulat diletakkan di sudut itu bagi menyerlah konsep moden yang dipilih.
Ditanya tentang ruangan paling disukainya, Syamimia berkata dia paling menyukai bilik tidur anaknya.
“Bilik tidur anak saya menjadi ruang kegemaran saya pada kediaman ini, memandangkan di situlah masa saya paling banyak dihabiskan,” jelasnya.
Jika ruang bilik tidur menjadi kegemaran pemilik kediaman, ruang dapur pula menjadi ruang paling disukai pengikut Syamimia.
Hal ini kerana biarpun mempunyai ruang yang terhad, Syamimia cukup bijak menyusun atur perkakas di dapurnya dengan begitu kemas.
Katanya, pemilihan dapur jenis mudah alih cukup membantu dalam menjimatkan penggunaan ruang dapur, sekali gus menjadikan ruangan kecil itu tampak begitu tersusun dan tidak sarat.