fbpx

Konflik Palestin-Israel: Angelina Jolie, lebih 250 selebriti kecam jenayah perang Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jolie menganggap tindakan pengeboman Israel sebagai jenayah perang. - UN Photo/ Mark Garten

GENEVA, Switzerland – Bintang Hollywood yang juga Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Angelina Jolie bersama lebih 250 selebriti lain mengecam Israel kerana melakukan jenayah perang di Semenajung Gaza dan menuntut gencatan senjata segera dilaksanakan.

Laman berita Thaiger melaporkan, kritikan Jolie dikeluarkan susulan pengeboman Rejim Zionis ke atas kem pelarian Jabalia yang membawa kepada kehilangan nyawa lebih 1,000 penduduk Palestin.

Jolie bersama lebih 250 tokoh terkenal lain secara terbuka mengutuk pengeboman Zionis di Semenanjung Gaza. Mereka menyeru agar permusuhan segera dihentikan. Jelas Jolie, Palestin kini menjadi penjara terbuka yang dikawal secara tidak berperikemanusian oleh Israel.

Pelakon berusia 48 tahun itu menyiarkan kenyataannya di Instagram, mengutuk pengeboman yang disengajakan terhadap orang awam yang terperangkap di wilayah Palestin itu kerana bimbang ia akan menjadi kubur besar-besaran. 

Jolie juga menggelar pemimpin-pemimpin dunia terlibat dalam jenayah kerana berdiam diri dan menuntut gencatan senjata berdasarkan prinsip kemanusiaan.

Selain Jolie, penyanyi kumpulan muzik Pink Floyd, Roger Waters ialah seorang lagi selebriti yang menyelar layanan biadab Israel ke atas rakyat Palestin.

“Kerajaan Israel menganggap saya sebagai ancaman kepada rejim apartheid mereka dan melakukan segala perkara untuk memburukkan saya, cuba memusnahkan kerjaya saya serta keluarga saya.

“Kisah ini bermula sejak saya pergi ke Palestin pada 2006. Saya melihat mereka membunuh, menembak orang Palestin. Saya melakukan pelbagai usaha untuk mendedahkan perkara itu dan saya akan terus melakukannya,” katanya.

Selebriti lain seperti Mark Ruffalo, Bella Hadid, Rihanna dan Vanessa Redgrave menghadapi pelbagai tindak balas kerana komen atau tindakan mereka yang dianggap sebagai kritikal terhadap Israel atau menyokong perjuangan Palestin. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI