fbpx

Kishida adakan lawatan kerja 2 hari ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kishida

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengadakan lawatan kerja ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, ia merupakan lawatan sulung Kishida sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober 2021 lalu.

Katanya, Perdana Menteri Jepun itu dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, alam sekitar dan keselamatan tenaga serta informasi dan komunikasi.

“Kedua-dua Perdana Menteri juga dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk konflik Palestin-Israel.

“Susulan pertemuan tersebut, Kishida akan diraikan oleh Perdana Menteri dalam satu jamuan makan tengah hari,” katanya di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama dalam Bidang Informasi dan Komunikasi antara Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.

“Lawatan Kerja ini akan memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua buah negara.

“Memandangkan Jepun sentiasa memainkan peranan pentingnya sebagai rakan dialog ASEAN, lawatan ini mempunyai kepentingan istimewa kerana ia bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini,” ujarnya.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak tahun 2015, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia. Pada tahun 2022, nilai dagangan dengan Jepun berjumlah RM181.51 bilion (USD41.21 bilion) yang merangkumi 6.4 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Sehingga Jun 2023, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (USD27.43 bilion). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI